Saturday, June 27, 2009

Akhirnya Sudirman dihargai


Sudirman yang diwakili kakaknya, Datin Rodziah Arshad menerima pengurniaan itu sempena ulang tahun Hari Keputeraan ke-78 baginda di Balairung Seri, Istana Abu Bakar, Pekan, kelmarin.

Apapun, Sudirman memang layak menerima anugerah berkenaan.

Sebagai penyanyi nombor satu Asia, siapa yang tidak kenal dan menyukai lagu Sudirman.

Karya yang boleh dikatakan penuh dengan mesej dan pengalaman menjadikan Sudirman segar di ingatan peminat walaupun kini dia hanya dalam kenangan.

Bagi penulis lirik dan penerbit filem terkenal, Habsah Hassan, Sudirman memang wajar menerima gelaran berkenaan.

Namun, ia agak terlewat untuknya kerana dia lebih dulu menyahut panggilan Ilahi pada 22 Februari 1992.

Bagaimanapun, itu satu penghargaan besar terhadap jasanya.

"Sebagai sahabatnya, saya tumpang gembira atas penganugerahan itu.

"Secara tidak langsung, pembabitan Allahyarham dalam industri seni tanah air suatu ketika dulu masih diingati dan dihargai. Sayangnya, Allahyarham sudah pergi terlalu lama.

"Saya benar-benar rasa terharu. Tidak sangka, penat-lelah Sudirman selama ini yang pernah menghiburkan orang ramai tidak sesekali dilupakan. Bagi saya, anugerah itu bukan saja lebih bermakna untuk peminat Sudirman, tetapi buat keluarganya.

"Sejak kembalinya Sudirman ke hadrat Ilahi, pastinya ia satu memori besar yang tidak dapat dilupakan keluarga serta peminat setianya. Jadi, dengan adanya anugerah diterima itu boleh dikatakan satu 'bonus' untuk diwarisi keluarga Allahyarham," katanya.

Bagaimanapun, Habsah, yang cukup mengenali Sudirman, menegaskan selagi orang ramai mengingati Sudirman dan jasanya, maka itu juga penghargaan sangat besar buat Allahyarham.

Menurutnya, kenangan yang ditinggalkan Sudirman takkan pernah hilang.

Seorang lagi sahabat baik Allahyarham, Noorkumalasari ketika dihubungi semalam, enggan memberi komen mengenai penghargaan itu.

Katanya, tiada apa lagi yang hendak dikatakan. Jika ia sudah diberi, apa salahnya menerima.

"Memandangkan Allahyarham Sudirman sudah tiada, saya tidak mahu komen apa-apa. Lagipun, kata orang tidak baik mereka yang sudah meninggal dunia disebut-sebut selalu. "Arwah akan sedih dan lebih baik hulurkan doa buatnya," katanya.

Penyanyi yang popular dengan lagu Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu, Ramlah Ram berkata, selayaknya Sudirman menerima gelaran berkenaan.

Menurut Ramlah, sebagai penghibur serba boleh dia sangat mengingati Allahyarham yang baik hati.

"Sekalipun saya tidak dapat mengenalinya dengan lebih lama, Sudirman ialah artis yang suka memberikan semangat kepada rakan lain.

"Macam saya dulu, tidak yakin untuk membuat persembahan, tetapi Allahyarham sedia membantu.

"Disebabkan saya masih baru, apa yang dilakukannya sangat membantu. Allahyarham juga tidak pernah berasakan dirinya hebat.

"Sikap merendah dirinya dan tidak sombong membuatkan saya begitu menghormati Allahyarham hingga kini. Dia (Allahyarham) istimewa," katanya.

Menurut Ramlah, jasa Sudirman pada industri seni memang tidak boleh dipersoalkan sesiapa.

Bayangkan, lagu-lagunya sampai sekarang masih diingati generasi muda.

Hakikatnya, mereka tidak pernah kenal atau bersua dengan Sudirman.

Penyanyi dan ahli perniagaan e-dagang, ND Lala atau Amir Hamzah Salleh berkata, sebagai anak seni sememangnya tiada apa diinginkan ketika berkarya.

Paling penting ketika itu adalah dapat menghiburkan peminat dan karya dihasilkan diterima.

"Justeru, sama ada dapat anugerah atau tidak, itu bukan persoalannya. Jadi, dalam soal ini istilah dapat anugerah awal atau tidak, usah diperkata. Apa yang utama, impak kepada pendengar yang membuatkan lagu dinyanyikan artis itu kekal diingati dan disukai.

"Begitulah yang berlaku kepada Allahyarham Sudirman. "Secara peribadi, pada saya Sudirman bukan hanya penghibur, tetapi individu yang memberi inspirasi. Lihat saja pada lagu-lagunya yang penuh dengan mesej seperti patriotik, cinta dan komedi," katanya.

Kata ND Lala lagi, personaliti Sudirman yang hebat itu memang wajar bagi Allahyarham dianugerahkan Datuk walaupun sudah meninggal dunia.

Dalam soal ini, kita sendiri boleh lihat betapa lagu-lagu Sudirman diminati pelbagai lapisan usia daripada kanak-kanak hingga dewasa.


Profil

NAMA: Sudirman Haji Arshad
TARIKH LAHIR: 25 Mei 1954
ASAL: Temerloh, Pahang
KARIER: Penyanyi, pelakon, penulis dan peguam
KELUARGA: Anak bongsu daripada enam beradik
PENDIDIKAN: Ijazah Undang-Undang Universiti Malaya
BAPA: Arshad Hassan
IBU: Ramlah Dahlan
MENINGGAL DUNIA: 22 Februari 1992

PENCAPAIAN: Antaranya, Penghibur TV Terbaik, Anugerah Seri Angkasa, RTM 1978, Persembahan Terbaik Anugerah Juara Lagu TV3 1987, Penyanyi Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 1989 dan Penghibur Nombor Satu Asia 1989

ANUGERAH: Ahli Mangku Negara daripada Yang di-Pertuan Agong 1988, Ahli Mahkota Pahang daripada Sultan Pahang 1990, Johan Mangku Negara daripada Yang di-Pertuan Agong 1992 dan Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang daripada Sultan Pahang (2009)





Friday, June 19, 2009

Sudirman terima gelaran 'Datuk'



Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah menyampaikan Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang membawa gelaran 'Datuk' kepada Sudirman Arshad yang diwakili kakaknya Datin Rodziah Arshad (dua, kiri) pada Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Pahang sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda ke-78 pada 24 Oktober lepas di Istana Abu hari ini. Anugerah itu merupakan perhargaan tertinggi bagi penyanyi kelahiran Temerloh, Pahang yang meninggal dunia pada 22 Februari 1992 ketika berusia 37 tahun. Pada Istiadat itu seramai 184 individu menerima darjah kebesaran dan pingat. --fotoBERNAMA



PEKAN: Penyanyi Allahyarham Sudirman Arshad hari ini dianugerahkan Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang membawa gelaran "Datuk" sempena ulang tahun Hari Keputeraan ke-78 Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah pada 24 Okt tahun lepas.

Anugerah yang disampaikan oleh Sultan Ahmad Shah dalam satu istiadat di Balairong Seri Istana Abu Bakar di sini diterima oleh kakak sulung penyanyi itu, Datin Rodziah Arshad.

Sudirman, anak kelahiran Temerloh, meninggal dunia pada 22 Februari 1992 pada usia 37 tahun.

Rodziah ketika ditemui pemberita melahirkan rasa terharu di atas penghargaan itu.

"Walaupun Allahyarham telah lama tiada, namun anugerah ini melambangkan beliau masih diingati dan dihargai sehingga kini," katanya.

Katanya beliau bercadang untuk menyerahkan anugerah darjah berkenaan ke Muzium Tokoh di Kuantan dan akan membincangkannya dengan ahli keluarga.

Sudirman (1984-1992), mula muncul dalam dunia hiburan tempatan apabila memenangi pertandingan bakat muda Bintang RTM pada tahun 1967 sebelum memulakan kerjayanya.

Beliau lebih dikenali sebagai "Singing Lawyer" dan "Elvis Malaysia,".

Lagu-lagu hits rakamannya bukan sahaja terkenal di Malaysia tetapi juga di negara lain di seluruh dunia.

Persembahan beliau seringkali mendapat tepukan gemuruh di Australia, Jepun, Kuwait dan Amerika Syarikat.

Beliau diberi gelaran "Singing Ambassador" daripada Lembaga Pembangunan Pelancongan Malaysia dan lagu nyanian beliau "To know Malaysia is to love Malaysia" masih lagi diperdengarkan sehingga kini.

Salah satu daripada persembahan terbaik dalam kareernya ialah pada April 15, 1986, apabila beliau mengadakan konsert di ruangan yang terbuka di Jalan Chow Kit di Kuala Lumpur, dan dipercayai merupakan "konsert jalanan" yang pertama sekali pernah dibuat.

Peminatnya ketika itu seramai kira-kira 100,000 membanjiri jalanraya, dan ketika itu The Star melaporkan "keadaan di KL lenggang dan ia bukan disebabkan masalah ekonomi tetapi oleh seorang lelaki, Penghibur No.1 Malaysia," tambahan lagi "ia merupakan persembahan yang mengejutkan dan tidak dapat dilupakan."

Beliau memenangi gelaran "Penghibur terbaik di Anugerah Muzik Asia 1989 di Royal Albert Hall, London.

Rakan Sudirman yang juga selebriti terkenal, Yasmin Yusuff, turut melahirkan rasa terharu serta menganggap anugerah berkenaan wajar diberikan terhadap bakat dan sumbangan Allahyarham.

Yasmin yang merupakan rakan sekolah Sudirman di Sekolah Sultan Abu Bakar, Kuantan, pula dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk.

Wednesday, June 3, 2009

Sudirman tiada dua


KAZAR menjanjikan persembahan luar biasa pada Konsert Untuk Mu Sudirman yang mula dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur 4 Jun ini.




Sudirman tiada duaTARIKH 22 Februari 1992 merupakan tarikh yang cukup signifikan dalam direktori hiburan tempatan. Pada tarikh itulah penghibur masyarakat, Sudirman Haji Arshad meninggal dunia.

Ini bermakna sudah 17 tahun dia pergi dan kita yang masih hidup terus melihatnya sebagai seniman berjiwa besar.

Kehebatannya sebagai seorang penghibur yang tidak pernah ketandusan idea kreatif untuk mencantikkan lagi persembahannya menjadikannya anak seni satu dalam sejuta.

Begitu juga dengan lagu-lagu nyanyiannya yang terus menjadi siulan dan diminati sehingga kini.

Bukan itu sahaja, Sudirman juga akan terus diingati sebagai seorang anak seni yang begitu memahami jiwa masyarakat.

Kerana itu juga, lahirlah lagu-lagu yang menceritakan permasalahan yang berlaku di dalam kehidupan seharian kita.

Menyingkap sejarah, Sudirman mula meniti populariti dan menjadi sebutan tatkala namanya dijulang sebagai juara Bintang RTM 1976 dan seterusnya menjadi artis rakaman EMI.

Bersama syarikat rakaman terunggul itu, anak kelahiran Temerloh, Pahang itu menghasilkan 20 buah album termasuk dua buah album Inggeris.

Lagu-lagu dendangan Sudirman meliputi skop muzik yang cukup luas baik dari genre pop, pop rock, Melayu Deli mahupun tradisional.

Malah, Sudirman juga berjaya membawa nama Malaysia di mata dunia apabila dia dinobatkan sebagai Penghibur Nombor Satu Asia di pentas penuh prestij, Royal Albert Hall, London pada tahun 1989.

Bukan setakat memegang portfolio sebagai seorang penghibur, beliau juga dikenali sebagai ahli perniagaan yang berjaya meskipun mempunyai latar pendidikan dalam bidang undang-undang.

Semua itu hanya tinggal kenangan. Sebagai peminat yang terus mengagumi bakat serta iltizam dan semangatnya, sudah pasti kita mahu melihat nama Sudirman di angkat ke peringkat yang lebih tinggi.

Saban tahun, pasti akan ada pihak yang tidak pernah lelah untuk menghasilkan program sebagai tribute bagi mengenang pembabitan Sudirman di pentas seni.

Sebagai contoh, penyanyi nombor satu negara Datuk Siti Nurhaliza pernah membuat persembahan mengenang Sudirman pada tahun 2002 menerusi Konsert Siti Nurhaliza Untukmu Sudir.

Malah, RTM sendiri pernah menghimpunkan nama-nama popular tanah air dan disatukan dalam sebuah persembahan istimewa sekitar dua tahun lalu.

Justeru, dalam usaha untuk terus mengangkat karya dan bakat besar Sudirman agar terus dikenang dan tidak dilupakan, Bintang Emas Pictures Sdn. Bhd. (BEPSB) mengambil inisiatif menganjurkan sebuah persembahan yang cukup berbeza daripada lazimnya.

Mengangkat 'cerita dalam lagu' itu, konsert yang diberi judul Konsert Untuk Mu Sudirman bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) bermula 4 Jun ini. Persembahan eksklusif itu akan mengimbau nostalgia yang bukan sedikit terhadap Sudirman.

Ini jelaskan sendiri oleh penerbit eksekutif dan pengarah konsert berkenaan, Siti Khadijah Ibrahim atau Eja yang memberitahu, projek berkenaan cukup istimewa serta menjadi impiannya.

Akan menampilkan lapan set yang melatari setiap jalan cerita serta lagu yang ditampilkan, Eja memberi jaminan persembahan itu kelak mampu melahirkan rasa puas kepada peminat Sudirman khususnya.

"Projek ini mula diusulkan sejak setahun yang lalu dan pihak IB hanya memberi lampu hijau dan tarikh pada bulan Disember lalu untuk menganjurkan konsert ini pada bulan ini.

"Disebabkan itu juga, konsert ini tidak dapat diadakan pada bulan Februari sebagai mengenang tarikh ulang tahun pemergian beliau. Tetapi pada saya, untuk mengingati Sudirman, ia boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja.

"Apa yang penting adalah untuk terus menghidupkan karya dan lagunya kerana Sudirman merupakan legenda yang akan terus diingati sampai bila-bila," katanya kepada Hits.

Antara artis yang terlibat dalam persembahan selama tiga malam berturut-turut itu ialah juara Akademi Fantasia (AF) musim kelima, Mila selain daripada Iqwal, Kazaruddin Saisi dan Adibah Noor.

Selain itu, bekas bintang AF musim keempat, Haziq juga akan mengalunkan vokalnya menerusi lagu-lagu Melayu Deli dan tradisional selain daripada Andy Flop Poppy, Atilia, Rahim Maarof serta MK dan Kelvin Lau.

Pada perbualan itu, Eja turut ditanya mengenai kriteria pemilihan artis-artis untuk persembahan tersebut.

Sebagai orang lama dalam industri hiburan, Eja sudah menjangkakan perkara itu akan dibangkitkan.

Bagaimanapun, beliau yang pernah menjadi 'orang kuat' di sebalik agenda pemasaran dan publisiti bagi projek Puteri Gunung Ledang the Musical dan P. Ramlee the Musical itu optimis kerana apa yang penting adalah bakat artis-artis ini yang mempunyai keistimewaan serta mampu menarik kelompok peminat mereka.

Apatah lagi konsert ini juga memberi satu kelainan dari segi muziknya apabila hanya menampilkan 11 orang pemuzik profesional di bawah pimpinan Zee Wan.

Jelas Eja lagi, beliau sengaja tidak mahu memilih muzik orkestra kerana mahu mereka yang hadir mampu menangkap lagu yang didendangkan serta menyanyi bersama mengikut alunan lagu.

"Saya juga mahu mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan negeri Pahang kerana sudi membeli tiket secara pukal serta Muzium Tokoh Negeri Pahang yang membenarkan kami meminjam beberapa memorabilia milik Sudirman untuk kami jadikan sebagai bahan pameran," jelasnya yang menanti penuh debar akan sambutan peminat terhadap konsert itu.

Untuk melengkapkan lagi perjalanan Konsert Untuk Mu Sudirman itu, pelakon berbakat besar, Que Haidar telah dipilih sebagai pencerita.

Dengan berbekalkan wajah mirip Sudirman, sememangnya anak kelahiran Felda Taib Andak, Kulai, Johor itu layak melibatkan diri dalam persembahan seumpama ini.

"Sewaktu mereka mengumumkan tentang persembahan ini, hati saya bertanya juga mengapa saya tidak terpilih sama.

"Bukan mahu meletakkan diri saya seperti Sudirman hanya kerana wajah saya dikatakan seiras dengan legenda itu tetapi ia lebih kepada aspirasi dan semangat Sudirman itu.

"Sudah pasti saya akan memberikan yang terbaik dan akan melakukannya dengan cara saya sendiri," katanya yang baru sahaja pulang dari Langkawi untuk penggambaran filem Legenda Budak Setan.

Labels:

Monday, April 13, 2009

Pengsan tengok konsert Sudirman

Sudirman ubah Chow Kit jadi arena besar bagi orang biasa.


SUDAH 23 tahun berlalu namun kehebatan konsert terbuka Sudirman di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur terus diperkatakan. Menyusuri kembali Jalan Chow Kit yang pernah menyaksikan persembahan penyanyi tersohor itu ternyata mengembalikan nostalgia.

“Sudir memang gementar dan dia sendiri tak menafikan perkara itu,” ujar bekas wartawan hiburan, Saodah Ismail, 49.

Kenangan tahun 1986 itu cukup mendalam dalam ingatan Saodah yang ketika itu menghabiskan masa sehari suntuk bersama penghibur berjiwa rakyat itu sebelum bermula konsert yang bersejarah itu.

Ceritanya, Sudirman sengaja memilih bilik hotel yang berdekatan dengan pentas persembahannya manakala tingkap biliknya betul-betul menghadap pentas.

SAODAH

“Makanan punyalah banyak yang dia tempah tapi satu pun tak habis dia makan. Sementara menanti petang, tingkap bilik itulah yang paling kerap dijenguknya,” kata Saodah.

Sambungnya lagi, frasa kata ‘Eh.. ada ke yang nak datang tengok I buat show ni?’ memang sentiasa bermain di mulut penyanyi yang hanya mempunyai ketinggian 1.47 meter itu.

Tambah Saodah, keresahan jelas terpancar daripada bahasa tubuh Sudirman apabila dia banyak bercakap dan buat lawak.

“Macam-macam yang dia bualkan. Lebih dekat masa persembahan hendak bermula, lagi tak senang duduk saya lihat dirinya,” katanya.

Menjelang pukul 5 petang, krew persembahan dan penyanyi No. 1 Asia itu bergerak meninggalkan bilik hotel dengan menaiki bas namun hampir saja tidak dapat bergerak disebabkan orang terlalu ramai.

Bagi Saodah, dia sendiri naik ‘seram’ melihat betapa ramainya manusia yang membanjiri Jalan Chow Kit iaitu sesuatu yang langsung tak terjangkau dek imaginasinya.



LAUTAN manusia membanjiri Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur pada 15 April 1986 untuk menyaksikan konsert Sudirman.


“Cerita ada orang yang pengsan, jalan ditutup seawal 11 pagi, dan kawalan ketat pihak polis memang betul.

“Semua jalan dan bangunan yang boleh melihat pentas Sudirman akan diserbu penonton. Tidak keterlaluan saya katakan, mereka datang seolah-olah mereka langsung tak pernah melihat Sudirman,” jelasnya.

Mengimbau pengalaman Bob Mustafa Kamal, 59, pula, bekas jurugambar itu memberitahu, pada asalnya dia menganggap konsert Sudirman di Chow Kit sama seperti konsert-konsertnya yang lain.

“Tapi sebaik saja sampai di Chow Kit sekitar pukul 5 petang, saya terkejut. Memang orang ramai betul,” katanya yang kini menetap di Melaka.

Mujurlah ada jejantas. Dan di situlah dia merakamkan gambar sepanjang konsert berkenaan kerana untuk bergerak memang tiada ruang langsung.

Walaupun beberapa perancangan telah dilakukan ketika mendapat tugasan tersebut, kerumitan tetap timbul.



KAWASAN yang pernah menempatkan pentas Sudirman.


“Saya tak jumpa pekerja dispatch yang sepatutnya ambil filem untuk dihantar ke pejabat kerana orang terlalu ramai.

“Rupa-rupanya, kami berdiri tidak berjauhan,” katanya ketawa mengingati pengalaman hebat itu. – SHANIKA ABDUL LATIB

Konsert Sudirman di Chow Kit

- Pada 15 April 1986, Sudirman menempa nama dalam Malaysia Book of Records setelah mengadakan konsert gergasi percumanya di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur. Hampir 100,000 warga kota menonton kehebatannya.

- Lagu pertama yang dinyanyikan ialah Chow Kit Road dan diakhiri dengan lagu patriotik Abadi sambil beliau memakai bendera Malaysia.

- Jalan Chow Kit pada era Sudirman adalah gelanggang marhaen. Chow Kit menjadi simbol orang-orang kerdil yang juga peminat Sudirman.

- Konsert jalanan secara percuma adalah sebagai tanda terima kasih Sudirman kepada para peminat yang tidak mampu menyaksikan persembahan di hotel dan dewan konsert, sekali gus memberitahu kita bahawa Sudirman bukan materialistik.

Saturday, March 7, 2009

Sudirman Mp3

Salam to all,
Disini anda boleh mendownload lagu-lagu arwahyarham Sudirman Haji Arshad yg telah saya sediakan link dibawah ini sebagai tanda saguhati kepada anda yg melawat blog ini, anda cuma klik link dibawah ini dan terus mendownloadnya, silakan dan cintai lagu2 Sudirman sentiasa didalam hati, harus diingat, anda harus membeli CD beliau yg original sebagai tanda sokongan kepada arwah, ini hanya untuk hiburan kita sementara....

Terima Kasih.

01 - SUDIRMAN - Aku Dan Duniaku, mp3
02 - SUDIRMAN - Hidup Sederhana (Basikal Tua), mp3
03 - SUDIRMAN - Bila Wajahmu Kubayangkan.mp3
04 - SUDIRMAN - Balik Kampung, mp3
05 - SUDIRMAN - Anak Gembala.mp3
06 - SUDIRMAN - Maya.mp3
07 - SUDIRMAN - Kul It!.mp3
08 - SUDIRMAN - Malam Ini.mp3
09 - SUDIRMAN - Aku Penganggur.mp3
10 - SUDIRMAN - Biar Aku Sengsara Sendiri mp3

Monday, February 23, 2009

Perlukah gelaran buat Sudirman?


SUDAH 17 tahun meninggalkan kita, namun sudirman masih terus dikenang oleh rakyat malaysia.


Oleh SAHARUDIN MUSTHAFA saharudin.musthafa@utusan.com.my


SEMALAM merupakan hari yang paling signifikan untuk mengenang penghibur kesayangan ramai, Sudirman Haji Arshad.

Ini kerana semalam genap 17 tahun penyanyi itu dijemput menghadap Yang Maha Esa.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 37 tahun pada 22 Februari 1992.

Lalu hari ini peluang diambil biarpun terlewat sehari untuk mengajak seluruh pembaca mengenang Allahyarham.

Menghasilkan artikel yang berbentuk tribute buat seorang seniman besar seperti Sudirman bukan satu perkara yang mudah.

Apa lagi Allahyarham merupakan seorang penggiat seni yang ketika hayatnya sangat disenangi, dikagumi dan dihormati oleh segenap lapisan rakyat Malaysia.

Maka, penghasilan artikel yang sedemikian perlulah tidak menyentuh sensitiviti mana-mana pihak - terutama keluarga Allahyarham.

Setiap kali menjelang ulang tahun kematian penghibur rakyat ini, kita akan terus mendengar cerita-cerita Sudirman pelbagai versi.

Sepanjang bergelar anak seni, Sudirman berhibur untuk semua orang sehingga kita ada kalanya terlupa bahawa seniman seperti beliau juga sering diuji dengan beban hidup.

Rakan-rakan serta mereka yang pernah menjadi sahabat karib Sudirman barangkali sudah arif benar dengan perjuangan dan pengorbanan seninya.

Kalau di pentas dahulu, acap kali yang dialunkan Sudirman di pentas-pentas dengan kilauan neon, semuanya adalah gambaran hidup beliau yang panjang.

Gambaran hidup yang penuh calar luka seorang manusia seni yang sensitif dan perasa.

Sebetulnya, ketika di hadapan khalayak, hanya beliau sahaja yang tahu betapa saratnya beban yang ditanggung.

Ironinya, tidak ramai yang mampu mengerti bahawa betapa sekalipun berat beban kehidupan seorang seniman itu, beliau terpaksa tampil dengan seribu kegembiraan dan keperkasaan demi khalayaknya.

Masih lagi teringat kata-kata beliau mengenai kehidupannya seperti yang dilaporkan dalam sebuah majalah hiburan.

Menurut Sudirman, yang paling memilukan dalam hidupnya ialah apabila tidak sempat menikmati kasih sayang ibu dan perkahwinan yang gagal.

Saya tidak pernah berjumpa Sudirman. Semasa beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir, saya masih di sekolah menengah.

Hanya melalui rakan-rakan, ahli keluarganya serta menerusi pembacaan sahaja, personaliti Sudirman saya kenali.

Yang jelas, Sudirman yang satu Malaysia kenali ialah beliau seorang penyanyi bijak dan berilmu.

Aliran pemikiran Sudirman menjangkau apa yang sebahagian besar masyarakat fikirkan di ambang kemasyhuran beliau menerusi lagu-lagu rakyat.

Karya-karya seni perjuangan Sudirman telah mengajar kita banyak ilmu kehidupan.

Seniman bertubuh kecil tetapi berjiwa besar itu telah banyak berjasa kepada kita menerusi nota-nota seninya.

Jiwa dan aspirasi Sudirman pada orang kampung misalnya diterjemahkan ke dalam lirik lagu Apa Khabar Orang Kampung.

Mereka yang pernah menjadi penganggur pula sudah tentu berterima kasih kepada Sudirman kerana memberikan motivasi yang bukan sedikit untuk bangkit daripada kedukaan menerusi lagu Aku Penganggur.

Itu belum lagi mengambil kira sejumlah besar teruna dan dara yang pernah menjadikan lagu-lagu cinta dendangan Allahyarham sebagai rakaman kepada musim-musim indah dan duka percintaan mereka.

Sebahagian besar lagu nyanyian Sudirman dianggap banyak pihak sebagai manifestasi sosial pada zamannya.

Sudirman sudah lama menyusur dalam kemelut masyarakat.

Andai ada yang mahu membuat perbandingan cerita-cerita kejayaan artis-artis popular masa kini dengan era kegemilangan Sudirman, yang boleh dirumuskan ialah, Allahyarham jauh lebih beruntung ketika hayatnya.

Siapa yang pernah mengadakan konsert solo yang ditonton oleh lebih 100,000 orang di tengah-tengah pusat bandaraya Kuala Lumpur kalau bukan Sudirman?

Sudirman juga terlebih dahulu menjejakkan kaki di Royal Albert Hall, London memahat nama Malaysia.

Di dewan itulah dia diangkat sebagai Penghibur Nombor Satu Asia.

Rasa kasih dan cinta Sudirman pada negara tidak pernah kurang walau seinci.

Apa yang jauh lebih penting daripada itu juga, Sudirman bukanlah seorang seniman yang meninggalkan kekayaan yang melimpah ruah.

Namun, itu bukan alasan kenapa beliau wajar diperkecilkan kerana tinggalan harta atau kekayaan bukanlah simbol kepada kejayaan seseorang artis.

Yang paling utama, menghargai Sudirman menerusi pemikirannya dan kebijaksanaannya adalah sebaik-baiknya.

Jadi, perlukah Sudirman dihargai dengan panggilan atau gelaran tertinggi?

Semua itu, terpulang pada pemahaman kita kerana kalau pemberian gelaran atau pingat kebesaran hanya sekadar panggilan semata-mata tanpa kita menghargai nilai-nilai murni dalam karya seni tinggalan Allahyarham, apa pula maknanya penghargaan itu?

Sunday, February 22, 2009

Annalizza sanggup ke Malaysia demi 'mimpi' Sudirman

MAJLIS tahlil sempena memperingati pemergian Allahyarham Sudirman pada 22 Februari 1992 di Restoran Puteri, Taman Tun Dr. Ismail, semalam menimbulkan suatu cerita menarik apabila seorang wanita Belanda yang tidak dikenali dari Amsterdam datang ke majlis tersebut.

Mimpi biasanya dianggap sebagai mainan tidur tetapi mana tahu mimpi seseorang itu boleh menjadi kenyataan seperti Annalizza yang dapat berbual dengan Allahyarham Sudirman di dalam mimpi.

Wanita berumur dalam lingkungan 40-an itu mengatakan Allahyarham Sudirman yang tidak pernah diketahuinya sebelum ini telah masuk ke dalam mimpinya.

“Dalam mimpi itu Sudir meminta saya datang ke pusaranya dan berjumpa dengan kakaknya, Ibu Rodziah.


Annalizza, wanita Belanda yang bercakap dengan Allahyarham Sudirman di dalam mimpi. -foto mStar oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ


“Saya kata malu hendak berjumpa dengan kakaknya. Dia berkata jangan malu kerana kakaknya seorang yang baik.

“Selepas itu, saya berjanji dengannya untuk datang ke Malaysia,” ujar Anna dalam bahasa Indonesia mengenai mimpinya yang berlaku kira-kira empat bulan lalu itu.

Menurut Anna, disebabkan dia berjanji untuk datang ke Malaysia, dia yang sebelum itu belum pernah menjejakkan kaki ke sini sanggup mengumpul wang untuk menampung perbelanjaannya.

“Waktu saya mimpikan arwah, dia berada dalam keadaan baring dengan tubuh kurus dan kecil sambil berkata dia sakit paru-paru.



Annalizza merakamkan gambar bersama Datin Rodziah Arshad ketika majlis tahlil Allahyarham Sudirman di Restoran Puteri, Taman Tun Dr. Ismail, semalam.



“Selepas itu, saya usapnya. Saya juga nampak di tapak tangannya ada bintik kemerah-merahan,” cerita Anna yang merahsiakan pekerjaan sebenarnya dengan mengatakan dia bekerja di bahagian pentadbiran.

Tambah Anna, dia terkejut apabila bintik merah yang dilihat pada tapak tangan Allahyarham Sudirman turut terdapat di tapak tangan kakak Allahyarham, Datin Rodziah Arshad apabila mereka berjumpa pada 27 November lalu di Bangsar.

Sebelum itu, pada hari yang sama, Anna terlebih dahulu pergi ke kubur Allahyarham seperti yang dialamatkan di dalam mimpinya.

“Semasa saya berjanji untuk datang, saya pegang tangannya. Waktu itu, saya berasa curiga kerana tangannya dingin.



Keluarga jiran Annalizza di Amsterdam yang menetap di Malaysia, Aziz (kanan) dan Penny membantu Annalizza ketika menjejaki pusara dan kakak Allahyarham Sudirman.



“Dia memberi alamat Chengal, Temerloh, Pahang. Apa yang saya ingat, dia kata tempat itu berwarna putih,” ulas Anna.

Jelas Anna, semasa dia datang ke sini, ada orang menolongnya ketika sampai di Malaysia.

“Saya bernasib baik kerana ditemani oleh keluarga kakak ipar jiran saya di Amsterdam yang tinggal di sini untuk sampai ke Temerloh,” luah Anna.

Katanya, jiran yang juga kawan baiknya itu merupakan orang Indonesia.



Sesekali Anna kelihatan sedih mengimbau cerita dia berbicara dengan Allahyarham Sudirman dan setelah mengetahui arwah telah tiada.



Ketika temubual dibuat, keluarga yang membantu Anna iaitu pasangan suami isteri, Aziz dan Penny serta anak lelakinya turut hadir ke majlis tahlil itu.

Mereka sekeluarga tinggal di Datuk Keramat, Kuala Lumpur.

Cerita Aziz, perjalanan mereka berempat ke Temerloh berjalan dengan lancar. Namun, sebelum sampai di tempat yang dimaksudkan oleh Anna iaitu Chengal, wanita itu tidak mengatakan dia hendak ke tanah perkuburan.

“Sepanjang kami bertolak dari Kuala Lumpur ke Temerloh, Anna kurang bercakap dan langsung tidak menceritakan tentang Sudirman. Selepas sampai di sana, baru dia menyebut sama ada saya mengenali Sudirman atau tidak.


Anna ketika menceritakan mimpi dan bagaimana dia boleh sampai ke Malaysia selepas mendapat alamat daripada mimpi itu.



“Saya terus cakap, itu penyanyi terkenal yang dah lama meninggal dunia. Selepas itu, terus kami mencari kubur arwah. Sebelum itu, kami bertanya kepada beberapa orang yang terdapat di sebuah restoran di situ.

“Apabila sampai di kubur itu, Anna berkata arwah memberitahu tempat tinggalnya berwarna putih.

“Selepas itu, Anna pejamkan mata seketika dan kami terus berpecah mencari kubur ‘berwarna putih’. Anna terus mengikut gerak hatinya untuk pergi ke kanan manakala saya dan isteri bergerak ke sebelah kiri.

“Akhirnya, dengan mudah dia menjumpai kubur arwah,” cerita Naib Presiden Kelab P. Ramlee ini yang akhirnya mempercayai cerita Anna apabila melihat kesungguhannya yang sanggup datang dari jauh.

Ujar Anna, dia pada mulanya sukar mengenalpasti tulisan jawi di batu nesan kerana diakui dia merupakan bekas penganut agama Kristian yang kini memeluk agama Islam selepas berkahwin dengan warga Indonesia.

“Selepas sah kubur itu milik arwah, terus saya berdoa untuknya dan mencium kubur itu.

“Saya juga meluah perasaan di kubur itu. Antaranya saya berkata 'kakak hanya orang biasa'.

“Apabila di dalam mimpi dia meminta saya berjumpa dengan kakaknya, saya agak curiga dengan alamat rumah yang diberikan iaitu sama ada nombor rumahnya adalah 61 atau 16.

“Saya juga mengatakan yang saya takut diusir dan dihina kerana saya hanya orang biasa,” ulas ibu tunggal kepada Danny, 25.

Bagi menjawab reaksi anaknya apabila mengetahui hal itu, Anna yang baru tiba dari Amsterdam semalam dan terus bergegas ke majlis tahlil itu berkata Danny tidak marah apabila dia menyayangi penyanyi yang digelar 'the Singing Lawyer' itu.

Tuturnya, apabila mengetahui cerita tentang arwah menerusi kakaknya, dia dapati latar belakang hidup dan nasib mereka hampir sama misalnya dia ditinggalkan oleh bekas suaminya.

“Sebagaimana saya ceritakan tentang keperibadian Sudir yang saya mimpikan adalah seorang yang manja dan murah hati, Ibu Rodziah juga mengiyakan kenyataan itu,” tutur Anna yang pernah dilahirkan dan menetap di Indonesia.

Anna juga meluahkan yang dia langsung tidak menyangka Sudirman yang bercakap dengannya di dalam mimpi itu telah meninggal dunia 17 tahun lalu.

Sembang Anna, jika arwah masih hidup: “Saya nak berkenalan dengannya.”

Tambahnya dalam nada puas hati kerana berjaya melunaskan janjinya dengan arwah: “Sekarang, saya sudah berasa gembira dan tenang.”

Anna juga mengakui selepas mendengar CD lagu arwah yang diberikan oleh Rodziah, terus dia menyukai lagu-lagu tersebut sehingga meminta anaknya memindahkan ke dalam telefon bimbitnya.

“Saya paling menyukai lagu 'Bila Wajahmu Kubayangkan',” kata Anna yang memilih lagu tersebut sebagai nada dering telefon bimbitnya.

Beliau yang dijangka akan menghabiskan masa selama tiga minggu di Malaysia merancang untuk berkunjung ke pusara arwah di Tanah Perkuburan Islam Chengal, Temerloh serta berdoa untuknya pada 22 Februari ini.

“Saya datang ke sini hanya untuk dia,” kata Anna yang akan mengikut keluarga Aziz ke Indonesia beberapa hari dan selepas itu kembali semula ke Malaysia.

Kemudian, Anna akan pulang ke Amsterdam dan belum pasti sama ada akan menetap di Malaysia pada suatu hari nanti atau tidak kerana dia memegang kerakyatan di sana.



Bro Rick Says....
Al-Fatihah buat Arwah Sudirman, semoga rohnya sentiasa dicucuri rahmat....., hari ini genap usia 17 thn, arwah meninggalkan kita semua, segala jasa dan kenangan yg ditinggalkan amat diratapi oleh kita semua, dimanakah akan dicari ganti???

Sunday, February 8, 2009

Gambar Rumah Sudirman terbakar

Rumah Sudirman terbakar pada 17.08.2008.




TEMERLOH - Rumah penghibur nombor satu Asia, Allahyarham Sudirman Haji Arshad di Kampung Bukit Tok Embun, Mentakab dekat sini musnah dalam kebakaran pukul 4 pagi semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Mentakab, Penolong Penguasa Md Yusof Mustafa berkata, kebakaran itu dipercayai berpunca daripada api lilin yang mungkin ditinggalkan oleh penagih dadah yang menjadikan rumah itu sebagai sarang menghisap dadah sejak ditinggalkan kosong beberapa tahun lalu.

Beliau berkata, bomba pada mulanya menerima laporan mengenai kebakaran tiang elektrik pada jarak 15 meter dari rumah tersebut, tetapi setelah tiba di kawasan kejadian, pihaknya mendapati kepulan asap menyelubungi kawasan rumah tersebut.

"Semasa anggota bomba sampai ke rumah itu, kira-kira 90 peratus rumah berkenaan sudah hangus terbakar dan bahagian bumbungnya telah ranap," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Rahsia kematian Sudirman terlerai


Penghibur nombor satu meninggal kerana kegagalan hati bukan Aids. KELUARGA Allahyarham Sudirman membuat keputusan untuk 'menyembunyikan' Penghibur Nombor Satu Negara itu mengenai penyakit dan punca kematiannya kerana tidak mahu peminat sukar menerima hakikat mengenai keadaannya yang sangat menyedihkan. Walaupun ia menyebabkan timbul pelbagai andaian sehingga ada yang mengaitkan Sudirman menghidap penyakit Aids, tetap mereka tegas untuk tidak mendedahkan kepada umum mengenai punca penyakit dan kematian penyanyi itu.

Rakan karib Sudirman yang juga penulis lirik terkenal tanah air, Habsah Hassan berkata, bagaimanapun, sejak kebelakangan ini keluarga penyanyi itu seperti sudah bersedia untuk bercerita dan merungkai rahsia sebenar mengapa mereka bertindak 'menyorokkannya'.

"Selepas bertahun-tahun, barulah rahsia itu terungkai. Keluarganya tidak mahu mendedahkan atau memberi peluang masyarakat Malaysia melihat Sudirman pada waktu itu kerana mereka tidak mahu melihat keadaan sebenar Sudirman yang sangat menyedihkan. Mereka sudah biasa tengok Sudirman dalam sentiasa ceria dan 'cute'.

"Secara perubatan, Sudirman disahkan mati kerana kegagalan hatinya berfungsi dengan sempurna. Tapi sebenarnya, ada punca kematian yang tidak boleh dijelaskan secara perubatan kerana pada waktu itu, Sudirman sedang menghadapi pelbagai perkara aneh. Saya akui, ia juga disebabkan ajalnya memang sudah sampai. Tetapi Sudirman melalui banyak perkara misteri dan mistik yang sukar untuk dipercayai pada zaman moden ini. Tetapi hakikatnya itulah yang dihadapi oleh Sudirman sehingga membawa kepada kematian," katanya.

Friday, December 12, 2008

Sudirman - Kesepian - OST Kami

Ramai sebenarnya yg suka lagu ni, Termasuk saya sendiri, lagu Sudirman - Kesepian ini satu-satunya lagu dalam OST Sudirman yg jarang dpt kita dgr, dibawah ini, saya sediakan lagu Sudirman - Kesepian, diatas permintaan ramai....


Monday, February 26, 2007

Koleksi2 Peminat Sudir...

Okey, geng... hari ni aku nak add sket about something... aku baru scan cover album ni di bahagian belakang... apa yg menarik perhatian aku ialah terdapat coretan kata2 Abg Sudir untuk setiap track... kat sini kita dpt memahami diri dia dgn lebih dekat lagi.... keikhlasan hatinya yg bukan setakat perform setiap lagu yg sampai ke tangannya. Enjoy!












Siapa Sudirman Hj. Arshad?

Siapa Sudirman Hj. Arshad? (pt.1)

Petikan drp booklet Memori Hit Sudirman 1954-1992)

Sudirman dalam Kenangan

Sudirman masih segar dalam ingatan walaupun telah 14 tahun meninggalkan kita. Penghibur ini berbakat besar, muzik dan pencapaiannya masih dikenang sehingga ke hari ini.

Beliau yang merupakan penghibur serba boleh telah membuat kejutan dari Sekolah Pay Fong, Melaka (1976) sehingga ke ruang berprestij di Royal Albert Hall London (1989).

Belum pernah sejak Allahyarham Tan Sri P. Ramlee meninggal dunia, Malaysia mempunyai seorang seniman yang luar biasa hebatnya, apatah lagi seorang seniman yang dapat merentasi sempadan bangsa. Sudirman Haji Arshad merupakan satu-satunya seniman yang boleh menyanyi dengan fasih pelbagai bahasa serta mengubah lagu sehingga berjaya mencuri hati setiap golongan masyarakat.

Wajarlah beliau sering dikatakan sebagai “Penghibur Milik Masyarakat”, “Penghibur Rakyat”, “A Genius With Microphone” dan pelbagai lagi..

Beliau merupakan segala-galanya bagi kita kerana dialah penyanyi, penghibur, penggubah, peguam, penulis, pengarang (buku kanak-kanak), pelukis kartun, usahawan, dan pelakon.

Sepanjang penglibatannya dalam bidang muzik, beliau telah menghasilkan 20 buah album dalam bahasa Melayu, termasuk dua buah dalam bahasa Inggeris – “Twinkle-Twinkle Little Star” dan “Images”.

Siapa dapat melupakan konsert mega percumanya di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur pada 15 April 1986? Beliau telah berjaya memikat dan memukau hampir 100,000 penonton dengan kehebatannya.

Sudirman juga muncul dalam acara penutup Sukan SEA 1989 yang dianjurkan oleh Kuala Lumpur dengan penampilannya yang berbeza, mengenakan baju bendera (Jalur Gemilang) sambil mengibarkan Jalur Gemilang (ketika itu Bendera Malaysia) yang besar.

Persembahan beliau dengan lagu One Thousand Million Smiles yang begitu mempersonakan dalam Salem Music Awards di Royal Albert Hall pada tahun 1989 sehingga berjaya dinobatkan sebagai Penghibur No. 1 Asia yang sesungguhnya amat membanggakan Malaysia.

Memang benar, ingatan terhadap Sudirman masih segar bersama kita walaupun selepas 14 tahun pemergian beliau – perjuangannya masih belum selesai.


Siapa Sudirman Hj. Arshad? (pt.2)


Lagu-lagu dendangan Sudirman berjaya menggambarkan kehidupan seharian rakyat serta memahami budaya dan cara hidup orang Malaysia.

Temanya berkisar dari alam semulajadi – Penyu Menangis, kepada perlaksanaan sistem “Punch Card” ke sub budaya Chow Kit Road, rentak keliru Penganggur, lagu patriotik Tanggal 31 dan kedinginan Salam Terakhir.

Lagu Balik Kampung merupakan suatu kemestian bagi perantau-perantau yang berpusu-pusu meninggalkan kota pada setiap menjelangnya hari raya, namun ia bukanlah pencetus keceriaan tetapi lebih kepada sentuhan rohani.

Bakat anak kepada ahli politik Temerloh yang dilahirkan 25 Mei 1954 ini telah diketengahkan apabila memenangi pertandingan Bintang RTM pada 11 Ogos 1976 dengan mendendangkan lagu Seruling Bambu dan Big Spender.

Setelah bergelar penyanyi, beliau telah merangkul satu lagi anugerah utama iaitu Penghibur Terbaik di Juara Lagu 1987 dan dengan bakat yang dimiliki, beliau dilantik sebagai “Malaysia’s Singing Ambassador” oleh Kementerian Pelancongan dan Kesenian Malaysia pada 1985.

Di sebalik kepadatan jadual dalam bidang seni, beliau masih dapat membahagi masanya dengan baik di antara menyanyi dan kelas tutorial di Universiti Malaya di mana pada tahun 1980 beliau telah lulus peperiksaan undang-undang dengan mendapat Kepujian Kelas Ketiga. Beliau telah dipanggil untuk menjalani latihan mahkamah empat tahun kemudian.

Hari memperingati kekasih, Februari 1981 merupakan detik-detik manis beliau apabila menamatkan zaman bujangnya bersama kekasih pilihan hati yang telah dikenali sejak kecil Kamarian “Kay” Jamaluddin. Walau bagaimanapun, jodoh mereka hanya bertahan selama tiga tahun sahaja.

Berbekalkan bakat lakonan yang ada dalam dirinya, beliau telah memegang watak utama sebagai Tookoo dalam filem “Kami” dengan Zul Zamrin Huri yang diarahkan oleh Patrick Yeoh pada 1982. Filem ini telah memenangi Anugerah Festival Filem Malaysia ke-3.

Jasa yang dicurahkan beliau terbalas apabila dianugerahkan pingat Ahli Mangku Negara pada tahun 1988 dan menerima dua anugerah selepas kematiannya pada tahun 1992 iaitu Johan Mangku Negara oleh Yang di-Pertuan Agong dan Ahli Mahkota Pahang oleh Sultan Pahang.

Kejayaannya dalam memasarkan minuman baru Sudi Cola telah mengangkat beliau sebagai pemenang Anugerah Pengusaha Muda dan atas inisiatifnya juga, beliau telah membuka Sudi Shoppe di Sungei Wang Plaza, Kuala Lumpur dengan menjual beraneka barangan yang berkaitan dengan penampilan bintang popular.

Siapa Sudirman Hj. Arshad? (pt.3)


Namun zaman kegemilangan beliau hanyalah sementara apabila pada 22 Februari 1992, ketika berusia 37 tahun beliau telah pergi meninggalkan kita untuk selama-lamanya. Jenazah beliau telah disemadikan di Kampung Cengal, Temerloh.

Selepas pemergiannya, beliau telah menerima beberapa lagi anugerah iaitu Penghibur No. 1 Malaysia yang diberikan oleh New Strait Times pada tahun 1993, Anugerah Khas dalam Anugerah Industri Muzik tahun 1993, dan Hadiah Pertama dalam Mobil-Mabopa (Malaysia Book Publishers Association) anugerah bagi novel sastera kanak-kanaknya iaitu Taming Si Budak Pintar pada tahun 1995.

Sudirman penghibur berbakat besar. Begitulah tanggapan yang masih melekat di minda yang bernasib baik dapat menyaksikan sendiri Sudirman secara peribadi atau melalui televisyan. Gelaran peledak Cili Padi ini hanya mempunyai ketinggian 1.47 meter dan bersaiz kasut 7, mengenakan pakaian biasa, solekan dan sekali sekala mengenakan chaplinesque yang bersahaja.

Demikianlah. Sudirman, lagunya untuk anda dan saya. Al-Fatihah untuk beliau.

Ibu tiri sebak terkenangkan Allahyarham


BIARPUN sudah 15 tahun Sudirman Haji Arshad pulang ke rahmatullah, namun telatah, gelak tawa serta segala kenangan ketika bersama Allahyarham masih tetap segar dalam ingatan ibu tirinya, Mariam Mohammad.

"Sudirman anak yang manja, tidak pernah menyusahkan orang dan sangat pandai mengambil hati saya. Hubungan kami sangat rapat dan saya menyayanginya seperti anak kandung sendiri. Sejak kecil, arwah dah pamerkan bakat sebagai penyanyi dan sering hasrat menjadi bintang hiburan disuarakan kepada saya. Namun, saya melarang kerana ketika itu Allahyarham masih di bangku sekolah," katanya sebak.

Namun, Mariam yang enggan jurugambar Hip merakam fotonya berkata, Sudirman atau lebih mesra dengan panggilan Sudir di kalangan peminatnya mula mengembangkan bakatnya ketika menuntut di Universiti Malaya dengan menyertai pelbagai pertandingan nyanyian. Kemuncak kejayaannya apabila menang Juara Bintang RTM pada 11 Ogos 1976 dan selepas 16 tahun berjasa untuk dunia hiburan, akhirnya Sudir meninggal dunia pada 22 Februari 1992.

"Orang dah tak ada. Mak cik pun tidak buat apa-apa kerja. Mak cik sekarang pun tidak berapa sihat. Mak cik pernah terima kehadiran pegawai dari Muzium Tokoh Kuantan, meminta trofi yang pernah dimenangi arwah untuk dipamerkan di sana," ujar beliau.

Mengenai sumbangan daripada mana-mana persatuan artis dan pembayaran hasil royalti Allahyarham, beliau menjawab, semuanya diuruskan kakak Allahyarham yang berada di Kuala Lumpur.

Beliau kini sudah tidak lagi bergiat aktif dalam mana-mana pertubuhan wanita lebih selesa untuk menjalani kehidupan biasa bersama anaknya, Maslina Arshad, 38, di Kampung Tok Embun, Temerloh. Mariam adalah isteri kepada bapa Sudir yang dikahwininya selepas ibu kandung Sudir meninggal dunia.

Memori Sudir: Kenangan pahit, manis


Sepanjang kerjaya sebagai penghibur Sudirman tidak sunyi kontroversi, spekulasi dan tanda tanya

SUDIRMAN Haji Arshad atau Sudir dianggap sebagai Pengibur Nombor Satu Tanah Air kerana persembahannya diterima ramai dan diminati pelbagai kaum. Namun, dalam pada itu ramai juga yang mencemuhnya dan sepanjang kariernya beliau beberapa kali berdepan situasi panas apabila segelintir pihak meluahkan rasa marah terhadapnya.

Siapa sangka, ada yang pernah membuat tuduhan kononnya penonton Islam yang hadir melihat konsertnya dianggap kafir. Ini berlaku apabila Sudir menjayakan Konsert Malam Anak Desa di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Konsert anjuran Persatuan Mahasiswa Fakulti Ekonomi UKM dibantah keras oleh kumpulan pelajar yang menggelarkan diri Angkatan Mahasiswa Bersatu (Atma).

"Apabila ada segelintir manusia yang mengkafirkan pertunjukan saya, dengan hati tenang saya menghadapinya. Saya anggap ia seperti api kecil dan perlu dipadamkan sebelum ia merebak dan menjadi besar dan membahayakan," kata Sudir dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia (SPM) terbitan RTM pada Mac 1985.

Beliau juga menghadapi bantahan daripada penuntut Universiti Malaya (UM) apabila hendak mengadakan Konsert Sudirman di Dewan Tuanku Canselor UM pada Ogos 1985. Konsert itu berjaya diadakan tanpa sebarang kekecohan. "Dalam kerjaya saya, pelbagai cabaran dihadapi tetapi saya lalui dengan tabah kerana ini adalah pilihan sendiri," katanya.

Pada Ogos 1986, Sudir dilaporkan bengang apabila ada pihak mencampurkan aduk persembahannya dengan isu politik dan agama.

"Saya berpegang pada nasihat arwah ayah saya. Kalau saya mahu menjadi penghibur yang baik, saya harus jauhkan diri daripada empat perkara iaitu politik, seks, dadah dan isu agama," tegas penyanyi ini.

Selepas tiga tahun menduda, persoalan beliau akan berkahwin lagi sentiasa menjadi bahan berita menarik. "Berkahwin memang senang. Tetapi susah mencari wanita yang sesuai dengan jiwa saya. Kalau setakat untuk mahu merasa makanan kegemaran saya, lebih baik saya gajikan seorang tukang masak," jelasnya.

Apapun, beliau sangat serius apabila kehidupan peribadinya dikaitkan dengan dadah, suka berparti dan seks. "Apabila masyarakat tidak ada jawapan untuk menjelaskan sesuatu persoalan, mereka mula menimbulkan perkara bukan-bukan. Kalau kita tidak jelaskan, mereka pasti ia memang berlaku. Pada hal, kita memang tidak melakukan langsung apa yang mereka sangka itu," katanya dalam satu wawancara dengan sebuah akhbar Inggeris yang disiarkan pada Oktober 1989.

"Semasa mengadakan satu persembahan dalam disko, dua lelaki datang bertanya, adakah pengurus saya itu teman lelaki saya? Saya kata, tidak. Salah seorang dari mereka kemudian menawarkan diri menjadi teman lelaki. Saya katakan padanya, saya bukan gay! Dadah? Saya tidak menyentuhnya sama sekali. Saya bukan orang suka berparti. Saya tidak suka bersosial tidak tentu pasal. Saya selesa di rumah," tegasnya dalam artikel bertajuk 'Sudirman’s loneliness' itu.

Daripada kritikan dan kontroversi itu, ada niat diluahkan Sudir tetapi seperti tidak kesampaian.

Pada 1987, Sudir menyatakan hasrat melanjutkan pengajian dalam bidang perfileman dan teater di New York selama tiga tahun. Katanya, apabila pengajiannya tamat, filem pertama hendak diarahkan berunsur patriotik.

Bagaimanapun, niat mengarahkan filem memang sudah lama tersimpan di hatinya. Pada sidang media sempena pelancaran album Terasing pada 1986, beliau merancang mengarahkan filem komedi yang skripnya ditulis beliau sendiri. Sudir membayangkan barisan pelakonnya ialah Noorkumalasari, Khatijah Ibrahim, Yusni Jaafar, Raja Ema selain beliau sendiri.

Pada 1986, beliau pernah menyuarakan niat mengerjakan ibadah haji tetapi tidak kesampaian. "Tahun depan (1987) saya akan mengerjakan haji. Mulanya hendak tahun ini tapi banyak harus diuruskan. Pihak Tabung Haji suruh saya daftar dulu," katanya.

Ketika itu beliau berumur 31 tahun. "Saya tidak mahu ke sana (Makkah) apabila sudah tua dan berjalan menggunakan tongkat. Menyusahkan orang saja," jelas Sudir yang berasakan mengerjakan Rukun Islam kelima itu, sebaik-baiknya ketika masih sihat, muda dan berkemampuan.

Sebenarnya, walaupun sudah 15 tahun persada seni negara kehilangan beliau, terdapat banyak persoalan yang masih menjadi tanda tanya selepas pemergiannya. Ini termasuk ke mana hilangnya syarikat atau perniagaan yang pernah diasaskannya. Sudir semasa hayatnya pernah menubuhkan Syarikat Usaha Dagang Industri Sdn Bhd yang mengeluarkan minum ringan dengan jenama SUDI. Syarikat itu ditubuhkan dengan modal kira-kira RM3 juta dan produk keluarannya dikatakan mendapat sambutan menggalakkan.

Beliau juga turut menubuhkan Sudir Shoppe di Plaza Bukit Bintang. Ia adalah kedai dan butik yang menjual 'merchadising' keluaran dirinya.

Penyanyi dan penghibur itu dikatakan memiliki restoran yang dinamakan Restoran Selera Sudi terletak berhampiran pejabat urusannya, Sudirman Productions di Taman Sri Hartamas. Beliau bersama pengurusnya, Mike Bernie Chin menerusi syarikatnya Sudirman Productions juga mempunyai cita-cita menerbitkan video yang merakam aksinya ketika konsert. Bagaimanapun, rancangan itu seperti tidak kesampaian. Paling 'misteri' hingga sekarang ialah apa sudah jadi dengan anak angkat Sudir bernama Surej Kumar? Pada 1990, Sudir membuat kejutan sehingga menimbulkan tanda tanya kepada peminatnya apabila bersetuju menjadikan Surej Kumar, bayi berketurunan India sebagai anak angkatnya. Kalau masih hidup, bagaimana Surej kini kerana sejak Sudir meninggal dunia, tiada lagi berita mengenai anak angkatnya itu.

Diantara Cerita2 Peminat Sudir....








Komen Peminat Beliau...

atas permintaan Duta_lover, nisa letak gambar kad hari raya dari Allahyarham Sudirman yang nisa terima lebih kurang 16 tahun lalu....kad ni nisa terima pada tahun 1990, setahun sebelum Allahyarham menghembuskan nafasnya yang terakhir....maaf sbb kad ni dah rosak dan tak begitu sempurna....

kad raya ni berwarna kuning keseluruhannya...muka pertama cuma ada tandatangan unik sudir di tengah2 dan bucu bawah pula tertera nama SUDIRMAN....tulisan2 yg comot tu sepatutnya tak de....muka surat kedua pula cuma ada gambar sudir duduk di kaki tangga manakala muka surat ketiga dihiasi dengan gambar tin minuman SUDI beserta ucapan ringkas...sudir turunkan tandatangannya dengan nombor '90 pd muka surat ini...bahagian belakang sekali hanya permukaan kosong berwarna kuning....

al-fatihah....

Sunday, February 25, 2007

Jasa Sudir wajar dikenang


RTM dikatakan banyak simpan koleksi klip video Allahyarham tapi tidak pernah menyiarkannya

HARIMAU mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama terbilang. Pepatah itu tepat untuk menggambarkan pemergian penghibur legenda negara, Allahyarham Sudirman Hj Arshad (Sudir) yang meninggalkan kita, genap 15 tahun hari ini.



Sekalipun 15 tahun sudah berlalu, ingatan peminat kepada anak seni sejati ini tidak pernah pudar, malah sentiasa hidup di hati peminatnya.

Apatah lagi, hingga hari ini, belum ada penyanyi yang mampu menggantikan tempat penghibur versatil yang berjaya menambat hati pelbagai kaum dan masyarakat serta dianggap setaraf dengan seniman agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee ini.

Anak jati kelahiran Temerloh, Pahang yang dilahirkan pada 25 Mei 1955 ini diibaratkan sebutir permata yang menyinari persada seni kerana dianugerahkan pelbagai bakat dan daya kreativiti unik serta tersendiri seperti menyanyi, menulis lirik, berlakon, melukis dan mengarah.

Selepas 15 tahun menggilap nama di persada seni tanah air, Juara Bintang RTM 1976 ini melakar nama sebagai Penyanyi Nombor Satu Asia di Royal Albert Hall, London pada 1989.

Sebagai warga sejati kepada tanah air, Allahyarham turut meninggalkan satu album patriotik, Abadi yang menampilkan lagu Warisan, Punch Card, Kehadiranku, 31 Ogos dan Tegakkan Bendera Kita diterbitkan pada 1986.

Namun, Allah lebih menyayanginya kerana beliau meninggalkan kita pada usia muda iaitu 38 tahun.

Hanya rangkaian lagu popularnya yang mengubati kerinduan peminatnya seperti Balik Kampung, Chow Kit Road dan Merisik Khabar, Salam Terakhir termasuk lagu raya Dari Jauh Ku Pohon Maaf, Selamat Hari Raya dan Balik Kampung.

Kesetiaan Allahyarham selama 30 tahun kepada Emi juga berbaloi bila syarikat rakaman berkenaan mengambil insiatif menerbitkan album kompilasi Sudirman No 1's yang juga bingkisan istimewa khusus buat seluruh peminatnya di negara ini.

Dalam pada itu, inisiatif Astro Ria menerusi Trek Selebriti Khas yang menyiarkan episod khas memperingati pemergian Sudirman pada 22 Februari 1992 tahun lalu juga wajar dicontohi pihak lain.

Stesen lain juga perlu menganjurkan segmen khas bagi mengenang pemergian Allahyarham saban tahun, sebagai contoh, RTM yang dikatakan banyak menyimpan koleksi video klipnya tapi tidak pernah disiarkan.

Kalau bukan segmen hiburan khas, sekurang-kurangnya pihak berkenaan boleh menerbitkan program wawancara dengan mereka yang pernah bekerja dengan Allahyarham ketika hayatnya.

Jika Astro Ria dengan segmen khasnya, pihak EMI, Arkib Negara dengan kerjasama Istana Budaya juga pernah mengadakan program khas pameran koleksi barangan Sudirman di Auditorium Memorial Tunku Abdul Rahman selama sebulan sempena 10 tahun pemergian Allayarham pada 2002.

Lebih bermakna, objektif pameran dan pengkisahan buat julung kalinya itu juga bagi mengumpul dan mendokumentasikan maklumat berkaitan Allahyarham melalui penceritaan dari keluarga, sahabat serta koleksi barangan peribadi Allahyarham.

Sementara itu, tidak lengkap untuk kita mengingati Allahyarham tanpa bacaan tahlil saban tahun.

Jika tahun lalu, lebih 30 penggiat seni tanah air menghadiri majlis tahlil Allahyarham di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya, malam ini (selepas solat Maghrib) pula, akan berlangsung majlis tahlil mengenang pemergiannya di kediaman kakaknya, Datin Rudiah @ Rodziah Arshad di Bangsar.

Sebenarnya, selepas 15 tahun pemergiannya, sudah sampai masanya kita melakukan sesuatu yang lebih bermakna bagi menghargai jasa dan sumbangan Allahyarham yang tidak ternilai dalam memartabatkan industri seni tanah air itu.

Sebelum ini, mungkin kita terlepas pandang untuk memberi anugerah padanya, kini adalah masa paling tepat untuk kita memikirkan anugerah setimpal untuk menghargai anak seni sehebatnya.

Seperti disarankan penerbit filem, penulis skrip dan lirik, Habsah Hassan yang juga sahabatnya Habsah Hassan, sudah sampai masanya kita mewujudkan anugerah sempena namanya.

Interaksi: Sudir perahsia, suka pendam rasa




JIKA hayat Sudirman Hj Arshad (Sudir) masih ada, usianya kini menjangkau 53 tahun. Cubalah bayangkan wajah comel Sudir dengan tubuhnya yang kecil molek pada usia itu.



Terlalu pantas masa berlalu. Sudah 15 tahun dia pergi meninggalkan kita semua. Dengan peredaran masa juga, kita menyaksikan begitu banyak bakat seni muncul, namun sukar mengggugat keampuhan Sudir sebagai penghibur sejati yang disanjung sehingga ke saat ini.

Bermula sebagai peserta pertandingan Bintang RTM 1976, dia terus menggalas tugasnya sebagai anak seni tanpa keluh kesah.

Dia meniti setiap perjalanan seninya dengan tekun dan sabar sehinggalah dia berjaya diangkat sebagai Penghibur Nombor Satu Asia yang ketika itu terpaksa beradu nasib dengan penyanyi Asia lain di pentas Dewan Royal Albert, London, yang gah itu.

Kini dia sudah tiada lagi. Kembalinya Sudir ke alam baqa, meninggalkan kerinduan yang tidak bertepi terhadapnya.

Kehilangannya ditangisi dan ketiadaannya tiada pengganti. Sudirman seorang insan seni sejati, sanggup melakukan apa saja demi membahagiakan hati ribuan peminat.

Pada 22 Februari ini, genaplah 15 tahun kematiannya. Sempena ulang tahun kematiannya, Interaksi berkongsi rasa dan cerita dengan insan seni yang pernah mengenalinya iaitu penulis lirik terkenal, Habsah Hassan. Ikuti temubual wartawan Harian Metro, NOR AKMAR SAMUDIN dengan Habsah menerusi kolum ini.

SOALAN (S): Sudirman yang anda kenali, dari segi peribadi, tingkah laku dan apa saja yang istimewa mengenainya?

JAWAPAN (J): Saya mengenali Sudir selepas dia menyertai Bintang RTM 1976 iaitu ketika dia dalam proses menerbitkan album EP pertamanya yang mengandungi empat lagu. Salah satu daripada dua lagu itu, Jali Jali dia nyanyikan masa pertandingan itu. Sementara dua lagu baru, Teriring Doa dan Suratku ciptaan Ooi Eow Jin dan lirik saya buat.

Selain menulis lirik lagunya, Sudir juga minta saya tuliskan skrip untuknya membuat persembahan rancangan RTM dan juga majlis makan malam.

Bekerja dengannya mudah kerana kami serasi. Dia juga tidak cerewet. Saya cepat memahami kehendaknya dan dia juga tahu cara saya bekerja.

Sebenarnya Sudir terlalu komited dengan kerjanya. Bagi mendapatkan yang terbaik dia sanggup buat semua perkara sendiri, dari persediaan set, reka bentuk kostum dan konsep persembahan, semua ideanya sendiri. Untuk setiap persembahan dia akan buat bermati-matian demi kepuasan diri dan peminat.

S: Kalau begitu sikapnya (cerewet), sukarlah hendak menjalin kemesraan dengannya?

J: Tidak juga kerana dia suka bergurau dan mengusik. Dia juga tidak pernah ambil hati jikalau kita bergurau dengannya. Hanya bila tiba soal kerja dia serius.

S: Anda antara yang banyak menulis lirik untuk Sudir. Kebanyakannya cukup puitis dan menusuk kalbu. Ilham sendiri atau dari kisah hidup Allahyarham?

J: Boleh dikatakan hampir semua album dia, saya sumbangkan lirik untuknya. Sudir seorang perahsia, suka memendam rasa. Oleh itu pada peringkat awal saya tulis lirik berdasarkan pemerhatian saya terhadap sikapnya dan cuba selami perasaannya menerusi tingkahnya. Kebetulan setiap hasil nukilan saya itu ‘kena’ pula dengan pengalaman dan situasi hidupnya kala itu.

Apabila dia menghayati setiap bait lirik itu, dia ingatkan saya tahu kisah hidupnya. Selepas itu dia mula mempercayai saya dan kami akrab. Sejak itu tiada rahsia antara kami berdua.

Sudir selalu kesepian dan kecewa dengan apa yang pernah dilaluinya. Jadi sebagai pelarian dari mengingati perkara yang menyedihkan itu dia fokus 100 peratus pada kerja. Dia berkorban masa, tenaga dan wang demi mencari sebuah kepuasan.

Justeru menerusi rintihan hatinya pada saya, terciptalah lagu Gerimis Di Lautan, Merisik Khabar, Salam Terakhir, Jauh Di Sudut Hati dan Sepetang Di Pinggir Bukit.

S: Sudir pergi ketika namanya memuncak. Pernah anda terfikir suasana industri hiburan hari ini jika hayatnya masih ada?

J: Sudir bagaikan sudah mendapat ‘alamat’ yang dia akan pergi meninggalkan kita semua pada usia muda. Pada 1986 dia pernah membayangkan pada saya dia akan mati muda. Ini kerana ibunya pergi menyahut panggilan Ilahi pada usia 33 tahun dan dia waktu itu baru berumur lima tahun.

Saya ingatkan dia berkata begitu kerana mengikut desakan hatinya yang marah dan kecewa masa itu. Saya marah dia dan saya kata padanya itu cakap orang tidak beriman. Orang lelaki apa yang hendak dibimbangkan, petik jari sepuluh mari.

Namun memang Allah amat menyayanginya dan mengambil nyawanya ketika usianya masih muda. Disebabkan berasakan saat kematian hampir menjelma, dengan sedikit masa yang masih bersisa dia berusaha membuat pelbagai perkara untuk dijadikan kenangan kepada peminatnya. Biarpun dia hanya sempat menyumbang jasa selama 16 tahun dalam bidang seni, namun tinggallannya memberi kesan mendalam sehinggalah ke hari ini. Ia berjaya meninggalkan sesuatu kepada dunia seni kerana selepas 15 tahun pemergiannya, orang masih mengenangnya.

Sudir adalah lambang kekuatan anak seni sejati. Suaranya tidaklah sehebat mana, fizikalnya pun kecil saja namun semangat juangnya cukup tinggi. Dia berusaha menjadi yang terbaik tanpa langsung mengharapkan balasan.

S: Ada buat lagu tribute untuk Sudir?

J: Lagu Dir dendangan Rahim Maarof. Dalam lagu itulah saya sematkan kenangan indah saya terhadapnya. Orang melihat dia ketawa tetapi hatinya dibaluti kisah duka nestapa.

Masih jelas di ingatan, dia pernah telefon saya dari Kuching, Sarawak, jam 6 pagi. Dia menyatakan kegelisahan dan tidak dapat lelap sepanjang malam kerana teringatkan seseorang. Daripada luahan hatinya itu, saya cipta lirik untuk lagu Merisik Khabar. Pada saat kematiannya saya ilhamkan lirik Salam Terakhir.

Sesiapa yang pernah mendekatinya, pasti akan jatuh kasih kepadanya. Dia memiliki sifat pemurah, mudah percayakan orang dan kerana sikapnya itu dia dianiayai dan sering dipermainkan kawan-kawan.

S: Pada saat akhir hidupnya, dia mahu bersendirian. Adakah tindakan Sudir itu wajar sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi negatif mengenai penyakitnya?

J: Ketika dia sakit, dia dalam keadaan di luar sedar dan bukan dirinya yang dulu lagi. Dia bukan menghidap Aids sepertimana tuduhan banyak pihak. Dia kena penyakit ‘permainan’ orang yang hasad dengki dengannya. Saya amat kecewa bila dia dituduh mati kerana Aids.

Pada 22 Februari 1992, selepas solat Subuh saya dan suami bergegas menziarahi jenazahnya di rumah kakaknya di Bangsar sebaik terima panggilan mengatakan Sudir tiada lagi. Saya lihat wajahnya ketika itu comel, berseri dan tanpa sebarang cacat cela.

Suami saya sendiri bersama keluarga Allahyarham mengangkat jenazah masuk ke van untuk dikebumikan di kampung halamannya di Temerloh, Pahang. Kalau benar dia menghidap penyakit berbahaya itu sesiapa tidak dibenarkan menyentuh tubuhnya. Ini tidak. Malah tiada sebarang ubat pembunuh kuman dan sebagainya diletakkan pada jenazahnya. Kepada mereka yang memfitnahnya sampai begitu sekali, perbanyakkan bacaan Al-Fatihah kepadanya kerana untuk memohon maaf darinya, dia sudah tiada lagi.

Barangkali keluarganya tidak benarkan sesiapa berjumpa dengannya kerana Sudir sendiri tidak mahu orang tengok penderitaan yang ditanggungnya. Biarlah selamanya orang memandang dan mengingatinya sebagai penghibur terkenal. Segala kesusahan yang terpaksa ditempuhinya, dia dan keluarga rela menanggungnya sendiri.

S: Bentuk pengiktirafan paling sesuai untuk mengenang jasanya?

J: Ada satu ketika kita terlalu murah hati memberi anugerah kepada sesiapa yang disukai. Lebih terhina ada juga individu yang merengek minta anugerah atau menggunakan kesempatan baik dengan pilihan tertentu untuk mendapat anugerah.

Memang Sudir antara yang paling layak untuk mendapat anugerah sebagai penghargaan kepada jasanya. Tetapi Sudir ikhlas ‘memberi’ tanpa minta balasan atau sanjungan.

Sepatutnya lama dulu Sudir terima anugerah. Kini dia tiada lagi, takkanlah keluarganya pula beriya-iya berjuang mendapat anugerah untuknya. Mereka pun ada harga dan maruah diri. Saya rasa Sudir pun tidak mengharapkan sebarang anugerah atau gelaran kerana apa yang dilakukannya kerana suka. Orang bagi atau tidak gelaran itu padanya, dia tetap Sudirman yang akan terus bekerja sehingga kudratnya yang terakhir.

S: Kehadiran ramai artis baru membuatkan peminat seni melupakan Sudirman?

J: Sudir menjadi legenda kini. Dia setaraf seniman agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee. Sehebat mana pun Mawi atau M Nasir, misalnya, masyarakat akan terus mengenang Sudirman dan P Ramlee.

Sudir seorang yang serba boleh. Tuhan anugerahkan dia dengan pelbagai bakat. Zaman sekolahnya dulu, dia ahli pidato dan ahli sukan.

Tidak dinafikan industri hiburan ramai artis baru tetapi sukar mencari yang setanding Sudir. Ini kerana dia bekerja dari hati yang tulus ikhlas. Keikhlasan itulah yang membuatkan dia diingati sehingga kini.

S: Beza artis sekarang dengan Sudir?

J: Ilmu. Walaupun ia bidang hiburan, mereka perlukan ilmu untuk menjadi yang terbaik. Bukan sekadar menyanyi dan buat lawak bodoh depan audien. Mesti kenal golongan sasaran, dewasa, kanak-kanak dan korporat. Mereka mempunyai penerimaan berbeza, tidak boleh main pukul rata saja. Apabila artis berilmu, percakapan dan penampilan mereka meyakinkan penonton. Untuk berjaya tidak boleh bergantung kepada nasib semata-mata.

S: Perjuangan artis kini dengan Sudir dulu?

J: Orang sekarang terlalu bernasib baik. Segalanya boleh dapat dengan mudah. Sekarang semuanya atas tiket populariti. Mereka yang sebenarnya berbakat seperti Adibah Noor, jarang dipandang kerana bentuk fizikalnya. Saya yakin suatu hari nanti Adibah Noor boleh pergi jauh dalam industri seni.

Sama juga dengan Sudir, dia mendaki puncak dari bawah. Sebab itu namanya bertahan walaupun jasadnya sudah tiada.

Walaupun ramai artis baru dalam bidang lakonan dan nyanyian namun kualiti tiada. Orang begini akan datang dan pergi seperti angin yang berlalu.

S: Pernahkah persatuan hiburan merancang sesuatu untuk menghargai jasanya seperti wujudkan anugerah mengambil sempena namanya?

J: Wajar sekali mewujudkan anugerah mengambil sempena namanya. Cukuplah untuk dijadikan kenangan bahawa insan seperti Sudirman pernah hadir dan mengharumkan dunia seni negara menerusi keringat yang dicurahkannya.

S: Andai kata Sudirman masih ada, bagaimanakah corak dunia hiburan negara sekarang?

J: Saya yakin Sudir akan mencorakkan dunia hiburan menjadi lebih baik dan terarah. Sudir sendiri kesal kerana penggiat seni luar negara seperti Indonesia bermaharajalela menjual produk mereka di negara ini. Hasil seni anak tempatan seakan diketepikan. Dengan situasi hari ini, kita terpaksa terima hakikat yang lagu negara seberang sudah menguasai industri kita.

Saya percaya jikalau Sudir masih ada, dia pasti akan melakukan sesuatu untuk mengangkat martabat seni negara supaya orang luar tidak memandang hina.

Majlis Tahlil Untuk Sudir..


MAJLIS tahlil sempena 15 tahun pemergian penghibur negara, Allahyarham Sudirman Hj Arshad di kediaman kakaknya, Datin Rodziah Arshad di Bangsar, malam kelmarin cukup bermakna buat keluarganya berbanding tahun sebelumnya.



Selain majlis itu dianjurkan keluarga terdekatnya sendiri, ia turut dihadiri hampir seratus orang termasuk artis popular tanah air, penggiat seni dan peminat dari jauh dan dekat.

Lebih istimewa, majlis yang bermula selepas solat Maghrib itu diserikan dengan kehadiran artis generasi baru seperti Juara Akademi Fantasia 3 (AF3), Mawi, Juara AF4, Faizal dan seorang lagi bintang yang dicungkil menerusi program realiti AF, Bob yang masing-masing menjadikan penghibur sejati itu sumber inspirasi mereka dalam bidang seni.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Operasi, Maestro Talent & Management Sdn Bhd, Freddie Fernandez serta penerbit dan penulis lirik, Habsah Hassan.

Dua artis veteran turut kelihatan, Rubiah Suparman, Yusni Jaafar dan bekas pengarang hiburan yang akrab dengan Allahyarham iaitu Bahyah Mahmood (BAM) serta Saodah Ismail.

Ketika ditemui, Rodziah berkata, sebelum ini, majlis tahlil untuk Allahyarham dianjurkan syarikat rakaman EMI, tapi kali ini, mereka sekeluarga sepakat mengadakan majlis tahlil termasuk memasak sendiri juadah pada malam itu.

“Pada mulanya, kami ingin menyajikan juadah kegemaran Sudirman ketika hayatnya, sebagai contoh masakan ikan patin untuk tetamu pada jamuan malam ini tetapi ia tidak dapat dilaksanakan kerana memikirkan tidak semua orang suka makan ikan patin.

“Namun begitu, saya tetap bersyukur kerana majlis tahlil ini berjalan lancar dan dihadiri hampir seratus orang termasuk peminat setianya.

“Menerusi majlis tahlil yang dianjurkan saban tahun inilah, kami dapat mengeratkan hubungan peminat dengan Allahyarham dari dulu sampai sekarang. Mereka juga masih menghubungi kami sekeluarga menerusi surat dan sebagainya lagi,” katanya.

Jika penghibur negara itu diibaratkan sebutir permata yang menyinari persada seni, bagi Rodziah pula, Sudirman sentiasa ‘hidup’ dalam keluarga mereka, sampai bila-bila.

“Sekalipun cerita sedih itu sudah 15 tahun berlalu, saya berasa Allahyarham seperti masih hidup dengan kami hingga hari ini. Saya hanya berasa Allahyarham tiada apabila saya bersendirian saja,” katanya sebak.

Sebagai kakak yang begitu akrab dengannya, Rodziah mengakui terlalu banyak kenangan manis yang dikongsinya bersama Allahyarham, ketika hayatnya dulu.

“Antaranya ketika Allahyarham datang berjumpa saya di Seberang Prai, Pulau Pinang, ketika itu saya menetap di sana. Dia juga minta saya membawanya meronda di sekitar Seberang Prai.

“Saya masih ingat lagi, kami menyanyi satu lagu lama bersama-sama. Saya tidak ingat pula siapa penyanyi lagu itu tetapi sering menyanyikan zaman sekolah dulu.

“Bila dengar lagu itu, Allahyarham terus berminat dan berhasrat untuk merakamkannya semula,” katanya.

Dalam pada itu, Mawi yang sibuk dengan rakaman album barunya tetap meluangkan masa dari agenda seninya yang padat untuk menghadiri majlis tahlil berkenaan.

“Sudirman insan seni begitu istimewa. Dia berbakat besar dan kehilangannya sukar dicari ganti. Allahyarham satu legenda yang setaraf dengan Seniman Agung Tan Sri P Ramlee. Selain idola, saya juga berangan untuk menjadi sepertinya.

“Kerana keistimewaanya itu, tidak hairanlah sampai sekarang peminat masih mengingatinya. Insya-Allah, saya juga memastikan menghadiri majlis tahlil buat Allahyarham ini sebagai agenda tetap saya saban tahun,” katanya.

Hubungan Faizal dan keluarga Allahyarham Sudirman mula terjalin ketika dia menyampaikan lagu popular Allahyarham, Hujan pada konsert akhir AF4.

“Anggota keluarga Allahyarham datang pada konsert itu dan sejak itu kami terus berhubung.

“Ini bukan kali pertama saya ke rumah keluarga Allahyarham kerana sebelum, ini saya sudah menziarahi mereka pada Aidilfitri lalu. Hubungan saya dan keluarga Allahyarham juga rapat dan saya turut memanggil kakak Allahyarham sebagai mama,” katanya. Seperti Mawi, Faizal juga mengagumi bakat besar Allahyarham sejak dulu lagi.

“Saya kagum dengan bakat dan personalitinya yang tiada pada artis lain. Saya juga menyimpan impian untuk melakar kejayaan sepertinya. Tapi saya percaya, perlu bekerja lebih keras untuk mencapainya.

“Selain itu, saya meminati semua lagu-lagunya seperti Nilai Cintamu, Senja Berulang Rindu, Hujan dan lain-lain.

“Insya-Allah, saya juga merancang untuk merakamkan semula lagu Allahyarham dalam album saya akan datang. Mungkin saya akan menyampaikannya dengan versi sendiri,” katanya. Bob yang berasal dari Limbang, Sarawak dan popular dengan lagu Hantaran Hati pula berkata, dia membesar dengan lagu-lagu Allahyarham Sudirman.

Antara lagu yang diminatinya ialah Joget Kenangan Manis, Ayah dan Ibu, Langit Petang dan Salam Terakhir.

“Saya masih ingat ketika kecil dulu, nama Sudirman memang gah sangat di kampung halaman saya. Sejak itu, saya menyimpan impian untuk mencipta nama sepertinya sekali gus mengharumkan nama negara kepada orang luar.

“Industri seni kita memerlukan insan seni yang hebat sepertinya terutama mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

“Jika adapun anak seni kita yang boleh dibanggakan ketika ini ialah Datuk Siti Nurhaliza yang bawa nama negara dalam konsertnya di Royal Albert Hall, London, tidak lama dulu,” katanya.

Thursday, February 8, 2007

Sudirman Hj Arshad


Sudirman Hj Arshad (25 Mei 1955-22 Februari 1992) merupakan salah seorang penyanyi yang terkenal di Malaysia, Dikatakan penghibur nombor 1 Asia dari Malaysia sebelum Siti Nurhaliza. Anak jati Pahang pertama memenangi Anugerah Penyanyi Asia tahun 1989 di London. Beliau telah diberi jolokan sebagai Seniman Rakyat dan Elvis Malaysia.

Begitulah tanggapan yang masih melekat di minda yang bernasib baik dapat menyaksikan sendiri Sudirman secara peribadi atau melalui televisyan. Gelaran peledak Cili Padi ini hanya mempunyai ketinggian 1.47 meter dan berkasut saiz 7, mengenakan pakaian biasa, solekan dan sekali sekala mengenakan chaplinesque yang bersahaja.

Riwayat hidup

Sudirman dilahirkan pada tahun 1954 di Temerloh, Pahang. Anak kepada Haji Arshad yang merupakan seorang bapa penoreh getah bersebelahan dengan rumahnya. Pada tahun 1980 Sudirman telah menerima ijazah doktor falsafah undang-undang dari Universiti Malaya (UM).

Semasa hayatnya Sudirman pernah memenangi anugerah Bintang RTM tahun 1977. Beliau pernah membintangi filem Kami sebagai Tookoo (berbunyi "Tuku"). Pada tahun 1986 Sudirman telah mengadakan persembahan konsert sulungnya dihadapan 100,000 orang penonton di Chow Kit, Kuala Lumpur. Lagu yang dinyanyikan oleh beliau ialah Chow Kit Road.

Tahun 1989 merupakan hari bersejarah bagi rakyat Malaysia apabila Sudirman telah dinobatkan sebagai Anugerah Penghibur Terbaik Asia tahun 1989 di Royal Albert Hall, London. Beliau kini dikenali oleh rakyat Malaysia sebagai Penghibur nombor 1 negara dan Asia.

Tanggal 22 Februari 1992, Sudirman Hj Arshad telah kembali ke Rahmatullah di rumah kakaknya di Kuala Lumpur setelah 7 bulan menghidap penyakit pneumonia. Ribuan peminat-peminat setia termasuk Perdana Menteri Malaysia ketika itu Tun Dr Mahathir Mohammad telah menziarahi jenazah Allahyarham yang dianggap sebagai satu kehilangan besar bagi dunia hiburan tanah air. Jenazah Allahyarham telah dibawa pulang ke Temerloh untuk dikebumikan di tanah perkuburan Islam Temerloh.

Tema Lagu-lagunya


Selepas meninggalkan Warnada Rekod dengan lagu popularnya Teriring Doa dan menerusi lebih 15 buah albumnya yang dirakamkan dengan EMI Rekod pula, ternyata kebanyakan lagunya mudah meresap ke jiwa pendengar kerana Sudirman menghayati sepenuhnya ketika setiap kali rakaman dilakukan.

Nama Sudirman sebagai penghibur rakyat yang berwawasan itu terus subur di hati para peminat. Lagu-lagu dendangan Sudirman berjaya menggambarkan kehidupan seharian rakyat serta memahami budaya dan cara hidup orang Malaysia. Lagu-lagunya ada untuk pelajar sekolah, pekerja kilang, penganggur, jururawat, gadis desa dan anggota keselamatan, seperti lagu Pesan Abang, Aku Penganggur, Jamilah, Sepetang Di Pinggir Bukit, Anak Gembala, Orang Kampung, Perasaan, Anak Muda, Basikal Tua, Anak Desa dan banyak lagi.

Tema lagunya berkisar dari alam semulajadi – Penyu Menangis, kepada perlaksanaan sistem “Punch Card” ke sub budaya Chow Kit Road, rentak keliru Penganggur, lagu patriotik Tanggal 31 dan kedinginan Salam Terakhir. Lagu Balik Kampung merupakan suatu kemestian bagi perantau-perantau yang berpusu-pusu meninggalkan kota pada setiap menjelangnya hari raya, namun ia bukanlah pencetus keceriaan tetapi lebih kepada sentuhan rohani.

Sudirman pernah mencoretkan catatan pada kulit album (piring hitam) ABADI (1982) bahawa EMI dan penerbitnya masa itu, S.Atan, tidak yakin untuk menerbitkan album patriotik (sepuluh lagu semuanya lagu patriotik) kerana takut masyarakat tidak dapat menerimanya. Tetapi demi cintanya pada Malaysia, beliau berkata sekurang-kurangnya biarlah dia ada satu album patriotik untuk seumur hidupnya. Dalam ABADI, lahirlah lagu Warisan, Punch Card, Kehadiranku, 31 Ogos dan Tegakkan Bendera Kita. Lagu itulah yang menjadi tema Bulan Kemerdekaan setelah pemergiannya.

Dalam kerjaya saya sebagai penghibur, saya mahu lakukan bersungguh-sungguh supaya masyarakat terus mengingati buat selama-lamanya, kata-kata yang pernah diucapkannya.

Wednesday, February 7, 2007

Album

Album-album






Nilai Cintamu (1980)
Salam Terakhir (1992) (Album terakhir)

Lagu-lagu


31 Ogos 1957
Apa Khabar Orang Kampung
Adat Berkasih
Ayah dan Ibu
Antara Hujan dan Air mata
Air Mata Kasih
Anak Dagang
Aku Pengangur
Basikal Tua
Berpisah Akhirnya
Balik Kampung
Berdendang Anak Dara
Biarlah ku sengsara sendiri
Bila wajahmu kubayangkan
Bimbang Terluka lagi
Cinta
Chow Kit Road
Dilema Dunia Cinta
Dia Tiada Lagi
Dari Jauh Ku Pohon Maaf
Di manakah nilai cintamu
Gadis Impian
Gerimis
Hujan
Hujan Semalam
Hanya Nyanyian
Hati Rindu
Hilang Berganti
Jali-jali
Jauh di sudut Hati
Jangan Kau Curiga
Joget Kenangan Manis
Kasih
Ku Pandu Laju (Bersalah)
Ketenangan Jiwa
Kerana Mata
Kuala Deli
Kehadiranku
Kau akan Kembali
Kul It
Sebuah Cinta dan Harapan
Sengsara Sendiri
Mari Bergembira
Merisik Khabar
Mat Disko
Orang Muda
Patah Hati
Pujaan Hatiku
Pelita Hati
Pelangi Petang
Pesan Abang
Punch Card
Salam Terakhir (Lagu terakhir)
Sepetang di Pinggir Bukit
Selamat Malam Sayang
Sengsara Sendiri
Sri Sarawak
Terasing
Tetapkan Hatimu
Tak Perlu Diucapkan
Teratai Menjelma
Toyol
Warisan

Belum disisih dengan senarai di atas


Aku Penganggur (1980)
Anak Gembala (1980)
Antara Hujan Dan Airmata (1989)
Hidup Sederhana Basikal Tua (1980)
Biarku Sengsara Sendiri (1980)
Bila Wajahmu Kubayangkan (1982)
Cinta (1981)
Dikau Kekasih (1984)
*Teriring Doa (1977)
Gerimis Di Lautan (1979)
Gugur Di Tangkai Madu (1978)
Hujan (1980)
Joget Kenangan Manis (1980)
Kau Akan Kembali (1980)
Mat Disko (1979)
Nilai Cintamu (1980)
Pelangi Petang (1982)
Senja Berulang Senja (1979)
*Seruling (1977)
*Ku Bersilat (1977)
*Surat Ku Yang Ini (1977)
Tak Perlu Diucapkan (1984)
Toyol (1979)
Warisan (1982)
Budak baru
Diperolehi daripada "http://ms.wikipedia.org/wiki/Sudirman_Hj_Arshad"

Sepanjang penglibatannya dalam bidang muzik, beliau telah menghasilkan 20 buah album dalam Bahasa Melayu, termasuk 2 buah album dalam bahasa Inggeris.

Teriring Doa (1977)
Aku Penghiburmu (1978)
Perasaan (1979)
Anak Muda (1980)
Lagu Anak Desa (1980)
Abadi (1982)
Orang Baru (1984)
Salam Terakhir (1992) (Album terakhir)
Twinkle-Twinkle Little Star
Images
ALBUM KOMPILASI

Sudirman - Memori Sentimental Hit
Sudirman - 24 Greatest Hits
Sudirman - 40 No.1 Dalam 1
Sudirman - Timeless



Tidak Dilupakan


Nama Sudirman Haji Arshad terus bersemadi di dalam hati peminatnya. Beliau masih Penghibur nombor 1 yang sukar dicari ganti.

Setiap tahun menjelang Hari Raya Aidil Fitri, rakyat Malaysia turut sama menyanyi apabila mendengar lagu nyanyian Sudirman, Balik Kampung, Selamat Hari Raya dan Dari Jauh Ku Pohon Maaf berkumandang di radio dan TV.

Tatkala semasa sambutan Hari Merdeka, lagu patriotik 31 Ogos 1957 dan Warisan masih dimainkan. Rakyat Malaysia juga mengingati Sudirman sebagai seorang penghibur yang gemar mengenakan baju khas bendera Malaysia tanda semangat patriotiknya kepada negara semasa Hari Merdeka.

Seperti ibunya, Sudirman diabadikan di Muzium Tokoh Pahang, di Kuantan sebagai mengenang jasanya di bidang seni kepada bangsa dan negara. Disinilah dipamerkan barang berharga - trofi Anugerah Penghibur Terbaik Asia milik Sudirman.

Usahawan

Kejayaannya dalam memasarkan minuman tin berkarbonat jenama Sudi Kola (ringkasan Sudirman Usaha Dagang Industri) telah mengangkat Sudirman sebagai pemenang Anugerah Pengusaha Muda. Minuman Sudi Kola yang terkenal telah mengambil 5 peratus pasaran minuman karbonat dalam masa 6 bulan beroperasi (dengan bantuan majalah bisnes dan program TV dari Australia ke Hong Kong mengiklankan minuman Sudi).

Atas inisiatifnya juga, beliau telah membuka Sudi Shoppe di Sungei Wang Plaza, Kuala Lumpur dengan menjual beraneka barangan yang berkaitan dengan penampilan bintang popular. Perniagaannya termasuk cermin mata hitam yang fleksibel.

Dalam tahun 1987, Sudirman menghasilkan sebuah album berjodol Sahabat untuk anak saudara kesayangannya atai di bawah Sudirman Productions.

Malangnya setelah Sudirman jatuh sakit, perniagaan barangan ini turut terjejas dan akhirnya terhenti disebabkan pemergian yang tidak diduga.