JIKA hayat Sudirman Hj Arshad (Sudir) masih ada, usianya kini menjangkau 53 tahun. Cubalah bayangkan wajah comel Sudir dengan tubuhnya yang kecil molek pada usia itu.
Terlalu pantas masa berlalu. Sudah 15 tahun dia pergi meninggalkan kita semua. Dengan peredaran masa juga, kita menyaksikan begitu banyak bakat seni muncul, namun sukar mengggugat keampuhan Sudir sebagai penghibur sejati yang disanjung sehingga ke saat ini.
Bermula sebagai peserta pertandingan Bintang RTM 1976, dia terus menggalas tugasnya sebagai anak seni tanpa keluh kesah.
Dia meniti setiap perjalanan seninya dengan tekun dan sabar sehinggalah dia berjaya diangkat sebagai Penghibur Nombor Satu Asia yang ketika itu terpaksa beradu nasib dengan penyanyi Asia lain di pentas Dewan Royal Albert, London, yang gah itu.
Kini dia sudah tiada lagi. Kembalinya Sudir ke alam baqa, meninggalkan kerinduan yang tidak bertepi terhadapnya.
Kehilangannya ditangisi dan ketiadaannya tiada pengganti. Sudirman seorang insan seni sejati, sanggup melakukan apa saja demi membahagiakan hati ribuan peminat.
Pada 22 Februari ini, genaplah 15 tahun kematiannya. Sempena ulang tahun kematiannya, Interaksi berkongsi rasa dan cerita dengan insan seni yang pernah mengenalinya iaitu penulis lirik terkenal, Habsah Hassan. Ikuti temubual wartawan Harian Metro, NOR AKMAR SAMUDIN dengan Habsah menerusi kolum ini.
SOALAN (S): Sudirman yang anda kenali, dari segi peribadi, tingkah laku dan apa saja yang istimewa mengenainya?
JAWAPAN (J): Saya mengenali Sudir selepas dia menyertai Bintang RTM 1976 iaitu ketika dia dalam proses menerbitkan album EP pertamanya yang mengandungi empat lagu. Salah satu daripada dua lagu itu, Jali Jali dia nyanyikan masa pertandingan itu. Sementara dua lagu baru, Teriring Doa dan Suratku ciptaan Ooi Eow Jin dan lirik saya buat.
Selain menulis lirik lagunya, Sudir juga minta saya tuliskan skrip untuknya membuat persembahan rancangan RTM dan juga majlis makan malam.
Bekerja dengannya mudah kerana kami serasi. Dia juga tidak cerewet. Saya cepat memahami kehendaknya dan dia juga tahu cara saya bekerja.
Sebenarnya Sudir terlalu komited dengan kerjanya. Bagi mendapatkan yang terbaik dia sanggup buat semua perkara sendiri, dari persediaan set, reka bentuk kostum dan konsep persembahan, semua ideanya sendiri. Untuk setiap persembahan dia akan buat bermati-matian demi kepuasan diri dan peminat.
S: Kalau begitu sikapnya (cerewet), sukarlah hendak menjalin kemesraan dengannya?
J: Tidak juga kerana dia suka bergurau dan mengusik. Dia juga tidak pernah ambil hati jikalau kita bergurau dengannya. Hanya bila tiba soal kerja dia serius.
S: Anda antara yang banyak menulis lirik untuk Sudir. Kebanyakannya cukup puitis dan menusuk kalbu. Ilham sendiri atau dari kisah hidup Allahyarham?
J: Boleh dikatakan hampir semua album dia, saya sumbangkan lirik untuknya. Sudir seorang perahsia, suka memendam rasa. Oleh itu pada peringkat awal saya tulis lirik berdasarkan pemerhatian saya terhadap sikapnya dan cuba selami perasaannya menerusi tingkahnya. Kebetulan setiap hasil nukilan saya itu ‘kena’ pula dengan pengalaman dan situasi hidupnya kala itu.
Apabila dia menghayati setiap bait lirik itu, dia ingatkan saya tahu kisah hidupnya. Selepas itu dia mula mempercayai saya dan kami akrab. Sejak itu tiada rahsia antara kami berdua.
Sudir selalu kesepian dan kecewa dengan apa yang pernah dilaluinya. Jadi sebagai pelarian dari mengingati perkara yang menyedihkan itu dia fokus 100 peratus pada kerja. Dia berkorban masa, tenaga dan wang demi mencari sebuah kepuasan.
Justeru menerusi rintihan hatinya pada saya, terciptalah lagu Gerimis Di Lautan, Merisik Khabar, Salam Terakhir, Jauh Di Sudut Hati dan Sepetang Di Pinggir Bukit.
S: Sudir pergi ketika namanya memuncak. Pernah anda terfikir suasana industri hiburan hari ini jika hayatnya masih ada?
J: Sudir bagaikan sudah mendapat ‘alamat’ yang dia akan pergi meninggalkan kita semua pada usia muda. Pada 1986 dia pernah membayangkan pada saya dia akan mati muda. Ini kerana ibunya pergi menyahut panggilan Ilahi pada usia 33 tahun dan dia waktu itu baru berumur lima tahun.
Saya ingatkan dia berkata begitu kerana mengikut desakan hatinya yang marah dan kecewa masa itu. Saya marah dia dan saya kata padanya itu cakap orang tidak beriman. Orang lelaki apa yang hendak dibimbangkan, petik jari sepuluh mari.
Namun memang Allah amat menyayanginya dan mengambil nyawanya ketika usianya masih muda. Disebabkan berasakan saat kematian hampir menjelma, dengan sedikit masa yang masih bersisa dia berusaha membuat pelbagai perkara untuk dijadikan kenangan kepada peminatnya. Biarpun dia hanya sempat menyumbang jasa selama 16 tahun dalam bidang seni, namun tinggallannya memberi kesan mendalam sehinggalah ke hari ini. Ia berjaya meninggalkan sesuatu kepada dunia seni kerana selepas 15 tahun pemergiannya, orang masih mengenangnya.
Sudir adalah lambang kekuatan anak seni sejati. Suaranya tidaklah sehebat mana, fizikalnya pun kecil saja namun semangat juangnya cukup tinggi. Dia berusaha menjadi yang terbaik tanpa langsung mengharapkan balasan.
S: Ada buat lagu tribute untuk Sudir?
J: Lagu Dir dendangan Rahim Maarof. Dalam lagu itulah saya sematkan kenangan indah saya terhadapnya. Orang melihat dia ketawa tetapi hatinya dibaluti kisah duka nestapa.
Masih jelas di ingatan, dia pernah telefon saya dari Kuching, Sarawak, jam 6 pagi. Dia menyatakan kegelisahan dan tidak dapat lelap sepanjang malam kerana teringatkan seseorang. Daripada luahan hatinya itu, saya cipta lirik untuk lagu Merisik Khabar. Pada saat kematiannya saya ilhamkan lirik Salam Terakhir.
Sesiapa yang pernah mendekatinya, pasti akan jatuh kasih kepadanya. Dia memiliki sifat pemurah, mudah percayakan orang dan kerana sikapnya itu dia dianiayai dan sering dipermainkan kawan-kawan.
S: Pada saat akhir hidupnya, dia mahu bersendirian. Adakah tindakan Sudir itu wajar sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi negatif mengenai penyakitnya?
J: Ketika dia sakit, dia dalam keadaan di luar sedar dan bukan dirinya yang dulu lagi. Dia bukan menghidap Aids sepertimana tuduhan banyak pihak. Dia kena penyakit ‘permainan’ orang yang hasad dengki dengannya. Saya amat kecewa bila dia dituduh mati kerana Aids.
Pada 22 Februari 1992, selepas solat Subuh saya dan suami bergegas menziarahi jenazahnya di rumah kakaknya di Bangsar sebaik terima panggilan mengatakan Sudir tiada lagi. Saya lihat wajahnya ketika itu comel, berseri dan tanpa sebarang cacat cela.
Suami saya sendiri bersama keluarga Allahyarham mengangkat jenazah masuk ke van untuk dikebumikan di kampung halamannya di Temerloh, Pahang. Kalau benar dia menghidap penyakit berbahaya itu sesiapa tidak dibenarkan menyentuh tubuhnya. Ini tidak. Malah tiada sebarang ubat pembunuh kuman dan sebagainya diletakkan pada jenazahnya. Kepada mereka yang memfitnahnya sampai begitu sekali, perbanyakkan bacaan Al-Fatihah kepadanya kerana untuk memohon maaf darinya, dia sudah tiada lagi.
Barangkali keluarganya tidak benarkan sesiapa berjumpa dengannya kerana Sudir sendiri tidak mahu orang tengok penderitaan yang ditanggungnya. Biarlah selamanya orang memandang dan mengingatinya sebagai penghibur terkenal. Segala kesusahan yang terpaksa ditempuhinya, dia dan keluarga rela menanggungnya sendiri.
S: Bentuk pengiktirafan paling sesuai untuk mengenang jasanya?
J: Ada satu ketika kita terlalu murah hati memberi anugerah kepada sesiapa yang disukai. Lebih terhina ada juga individu yang merengek minta anugerah atau menggunakan kesempatan baik dengan pilihan tertentu untuk mendapat anugerah.
Memang Sudir antara yang paling layak untuk mendapat anugerah sebagai penghargaan kepada jasanya. Tetapi Sudir ikhlas ‘memberi’ tanpa minta balasan atau sanjungan.
Sepatutnya lama dulu Sudir terima anugerah. Kini dia tiada lagi, takkanlah keluarganya pula beriya-iya berjuang mendapat anugerah untuknya. Mereka pun ada harga dan maruah diri. Saya rasa Sudir pun tidak mengharapkan sebarang anugerah atau gelaran kerana apa yang dilakukannya kerana suka. Orang bagi atau tidak gelaran itu padanya, dia tetap Sudirman yang akan terus bekerja sehingga kudratnya yang terakhir.
S: Kehadiran ramai artis baru membuatkan peminat seni melupakan Sudirman?
J: Sudir menjadi legenda kini. Dia setaraf seniman agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee. Sehebat mana pun Mawi atau M Nasir, misalnya, masyarakat akan terus mengenang Sudirman dan P Ramlee.
Sudir seorang yang serba boleh. Tuhan anugerahkan dia dengan pelbagai bakat. Zaman sekolahnya dulu, dia ahli pidato dan ahli sukan.
Tidak dinafikan industri hiburan ramai artis baru tetapi sukar mencari yang setanding Sudir. Ini kerana dia bekerja dari hati yang tulus ikhlas. Keikhlasan itulah yang membuatkan dia diingati sehingga kini.
S: Beza artis sekarang dengan Sudir?
J: Ilmu. Walaupun ia bidang hiburan, mereka perlukan ilmu untuk menjadi yang terbaik. Bukan sekadar menyanyi dan buat lawak bodoh depan audien. Mesti kenal golongan sasaran, dewasa, kanak-kanak dan korporat. Mereka mempunyai penerimaan berbeza, tidak boleh main pukul rata saja. Apabila artis berilmu, percakapan dan penampilan mereka meyakinkan penonton. Untuk berjaya tidak boleh bergantung kepada nasib semata-mata.
S: Perjuangan artis kini dengan Sudir dulu?
J: Orang sekarang terlalu bernasib baik. Segalanya boleh dapat dengan mudah. Sekarang semuanya atas tiket populariti. Mereka yang sebenarnya berbakat seperti Adibah Noor, jarang dipandang kerana bentuk fizikalnya. Saya yakin suatu hari nanti Adibah Noor boleh pergi jauh dalam industri seni.
Sama juga dengan Sudir, dia mendaki puncak dari bawah. Sebab itu namanya bertahan walaupun jasadnya sudah tiada.
Walaupun ramai artis baru dalam bidang lakonan dan nyanyian namun kualiti tiada. Orang begini akan datang dan pergi seperti angin yang berlalu.
S: Pernahkah persatuan hiburan merancang sesuatu untuk menghargai jasanya seperti wujudkan anugerah mengambil sempena namanya?
J: Wajar sekali mewujudkan anugerah mengambil sempena namanya. Cukuplah untuk dijadikan kenangan bahawa insan seperti Sudirman pernah hadir dan mengharumkan dunia seni negara menerusi keringat yang dicurahkannya.
S: Andai kata Sudirman masih ada, bagaimanakah corak dunia hiburan negara sekarang?
J: Saya yakin Sudir akan mencorakkan dunia hiburan menjadi lebih baik dan terarah. Sudir sendiri kesal kerana penggiat seni luar negara seperti Indonesia bermaharajalela menjual produk mereka di negara ini. Hasil seni anak tempatan seakan diketepikan. Dengan situasi hari ini, kita terpaksa terima hakikat yang lagu negara seberang sudah menguasai industri kita.
Saya percaya jikalau Sudir masih ada, dia pasti akan melakukan sesuatu untuk mengangkat martabat seni negara supaya orang luar tidak memandang hina.