Monday, February 23, 2009

Perlukah gelaran buat Sudirman?


SUDAH 17 tahun meninggalkan kita, namun sudirman masih terus dikenang oleh rakyat malaysia.


Oleh SAHARUDIN MUSTHAFA saharudin.musthafa@utusan.com.my


SEMALAM merupakan hari yang paling signifikan untuk mengenang penghibur kesayangan ramai, Sudirman Haji Arshad.

Ini kerana semalam genap 17 tahun penyanyi itu dijemput menghadap Yang Maha Esa.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 37 tahun pada 22 Februari 1992.

Lalu hari ini peluang diambil biarpun terlewat sehari untuk mengajak seluruh pembaca mengenang Allahyarham.

Menghasilkan artikel yang berbentuk tribute buat seorang seniman besar seperti Sudirman bukan satu perkara yang mudah.

Apa lagi Allahyarham merupakan seorang penggiat seni yang ketika hayatnya sangat disenangi, dikagumi dan dihormati oleh segenap lapisan rakyat Malaysia.

Maka, penghasilan artikel yang sedemikian perlulah tidak menyentuh sensitiviti mana-mana pihak - terutama keluarga Allahyarham.

Setiap kali menjelang ulang tahun kematian penghibur rakyat ini, kita akan terus mendengar cerita-cerita Sudirman pelbagai versi.

Sepanjang bergelar anak seni, Sudirman berhibur untuk semua orang sehingga kita ada kalanya terlupa bahawa seniman seperti beliau juga sering diuji dengan beban hidup.

Rakan-rakan serta mereka yang pernah menjadi sahabat karib Sudirman barangkali sudah arif benar dengan perjuangan dan pengorbanan seninya.

Kalau di pentas dahulu, acap kali yang dialunkan Sudirman di pentas-pentas dengan kilauan neon, semuanya adalah gambaran hidup beliau yang panjang.

Gambaran hidup yang penuh calar luka seorang manusia seni yang sensitif dan perasa.

Sebetulnya, ketika di hadapan khalayak, hanya beliau sahaja yang tahu betapa saratnya beban yang ditanggung.

Ironinya, tidak ramai yang mampu mengerti bahawa betapa sekalipun berat beban kehidupan seorang seniman itu, beliau terpaksa tampil dengan seribu kegembiraan dan keperkasaan demi khalayaknya.

Masih lagi teringat kata-kata beliau mengenai kehidupannya seperti yang dilaporkan dalam sebuah majalah hiburan.

Menurut Sudirman, yang paling memilukan dalam hidupnya ialah apabila tidak sempat menikmati kasih sayang ibu dan perkahwinan yang gagal.

Saya tidak pernah berjumpa Sudirman. Semasa beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir, saya masih di sekolah menengah.

Hanya melalui rakan-rakan, ahli keluarganya serta menerusi pembacaan sahaja, personaliti Sudirman saya kenali.

Yang jelas, Sudirman yang satu Malaysia kenali ialah beliau seorang penyanyi bijak dan berilmu.

Aliran pemikiran Sudirman menjangkau apa yang sebahagian besar masyarakat fikirkan di ambang kemasyhuran beliau menerusi lagu-lagu rakyat.

Karya-karya seni perjuangan Sudirman telah mengajar kita banyak ilmu kehidupan.

Seniman bertubuh kecil tetapi berjiwa besar itu telah banyak berjasa kepada kita menerusi nota-nota seninya.

Jiwa dan aspirasi Sudirman pada orang kampung misalnya diterjemahkan ke dalam lirik lagu Apa Khabar Orang Kampung.

Mereka yang pernah menjadi penganggur pula sudah tentu berterima kasih kepada Sudirman kerana memberikan motivasi yang bukan sedikit untuk bangkit daripada kedukaan menerusi lagu Aku Penganggur.

Itu belum lagi mengambil kira sejumlah besar teruna dan dara yang pernah menjadikan lagu-lagu cinta dendangan Allahyarham sebagai rakaman kepada musim-musim indah dan duka percintaan mereka.

Sebahagian besar lagu nyanyian Sudirman dianggap banyak pihak sebagai manifestasi sosial pada zamannya.

Sudirman sudah lama menyusur dalam kemelut masyarakat.

Andai ada yang mahu membuat perbandingan cerita-cerita kejayaan artis-artis popular masa kini dengan era kegemilangan Sudirman, yang boleh dirumuskan ialah, Allahyarham jauh lebih beruntung ketika hayatnya.

Siapa yang pernah mengadakan konsert solo yang ditonton oleh lebih 100,000 orang di tengah-tengah pusat bandaraya Kuala Lumpur kalau bukan Sudirman?

Sudirman juga terlebih dahulu menjejakkan kaki di Royal Albert Hall, London memahat nama Malaysia.

Di dewan itulah dia diangkat sebagai Penghibur Nombor Satu Asia.

Rasa kasih dan cinta Sudirman pada negara tidak pernah kurang walau seinci.

Apa yang jauh lebih penting daripada itu juga, Sudirman bukanlah seorang seniman yang meninggalkan kekayaan yang melimpah ruah.

Namun, itu bukan alasan kenapa beliau wajar diperkecilkan kerana tinggalan harta atau kekayaan bukanlah simbol kepada kejayaan seseorang artis.

Yang paling utama, menghargai Sudirman menerusi pemikirannya dan kebijaksanaannya adalah sebaik-baiknya.

Jadi, perlukah Sudirman dihargai dengan panggilan atau gelaran tertinggi?

Semua itu, terpulang pada pemahaman kita kerana kalau pemberian gelaran atau pingat kebesaran hanya sekadar panggilan semata-mata tanpa kita menghargai nilai-nilai murni dalam karya seni tinggalan Allahyarham, apa pula maknanya penghargaan itu?

Sunday, February 22, 2009

Annalizza sanggup ke Malaysia demi 'mimpi' Sudirman

MAJLIS tahlil sempena memperingati pemergian Allahyarham Sudirman pada 22 Februari 1992 di Restoran Puteri, Taman Tun Dr. Ismail, semalam menimbulkan suatu cerita menarik apabila seorang wanita Belanda yang tidak dikenali dari Amsterdam datang ke majlis tersebut.

Mimpi biasanya dianggap sebagai mainan tidur tetapi mana tahu mimpi seseorang itu boleh menjadi kenyataan seperti Annalizza yang dapat berbual dengan Allahyarham Sudirman di dalam mimpi.

Wanita berumur dalam lingkungan 40-an itu mengatakan Allahyarham Sudirman yang tidak pernah diketahuinya sebelum ini telah masuk ke dalam mimpinya.

“Dalam mimpi itu Sudir meminta saya datang ke pusaranya dan berjumpa dengan kakaknya, Ibu Rodziah.


Annalizza, wanita Belanda yang bercakap dengan Allahyarham Sudirman di dalam mimpi. -foto mStar oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ


“Saya kata malu hendak berjumpa dengan kakaknya. Dia berkata jangan malu kerana kakaknya seorang yang baik.

“Selepas itu, saya berjanji dengannya untuk datang ke Malaysia,” ujar Anna dalam bahasa Indonesia mengenai mimpinya yang berlaku kira-kira empat bulan lalu itu.

Menurut Anna, disebabkan dia berjanji untuk datang ke Malaysia, dia yang sebelum itu belum pernah menjejakkan kaki ke sini sanggup mengumpul wang untuk menampung perbelanjaannya.

“Waktu saya mimpikan arwah, dia berada dalam keadaan baring dengan tubuh kurus dan kecil sambil berkata dia sakit paru-paru.



Annalizza merakamkan gambar bersama Datin Rodziah Arshad ketika majlis tahlil Allahyarham Sudirman di Restoran Puteri, Taman Tun Dr. Ismail, semalam.



“Selepas itu, saya usapnya. Saya juga nampak di tapak tangannya ada bintik kemerah-merahan,” cerita Anna yang merahsiakan pekerjaan sebenarnya dengan mengatakan dia bekerja di bahagian pentadbiran.

Tambah Anna, dia terkejut apabila bintik merah yang dilihat pada tapak tangan Allahyarham Sudirman turut terdapat di tapak tangan kakak Allahyarham, Datin Rodziah Arshad apabila mereka berjumpa pada 27 November lalu di Bangsar.

Sebelum itu, pada hari yang sama, Anna terlebih dahulu pergi ke kubur Allahyarham seperti yang dialamatkan di dalam mimpinya.

“Semasa saya berjanji untuk datang, saya pegang tangannya. Waktu itu, saya berasa curiga kerana tangannya dingin.



Keluarga jiran Annalizza di Amsterdam yang menetap di Malaysia, Aziz (kanan) dan Penny membantu Annalizza ketika menjejaki pusara dan kakak Allahyarham Sudirman.



“Dia memberi alamat Chengal, Temerloh, Pahang. Apa yang saya ingat, dia kata tempat itu berwarna putih,” ulas Anna.

Jelas Anna, semasa dia datang ke sini, ada orang menolongnya ketika sampai di Malaysia.

“Saya bernasib baik kerana ditemani oleh keluarga kakak ipar jiran saya di Amsterdam yang tinggal di sini untuk sampai ke Temerloh,” luah Anna.

Katanya, jiran yang juga kawan baiknya itu merupakan orang Indonesia.



Sesekali Anna kelihatan sedih mengimbau cerita dia berbicara dengan Allahyarham Sudirman dan setelah mengetahui arwah telah tiada.



Ketika temubual dibuat, keluarga yang membantu Anna iaitu pasangan suami isteri, Aziz dan Penny serta anak lelakinya turut hadir ke majlis tahlil itu.

Mereka sekeluarga tinggal di Datuk Keramat, Kuala Lumpur.

Cerita Aziz, perjalanan mereka berempat ke Temerloh berjalan dengan lancar. Namun, sebelum sampai di tempat yang dimaksudkan oleh Anna iaitu Chengal, wanita itu tidak mengatakan dia hendak ke tanah perkuburan.

“Sepanjang kami bertolak dari Kuala Lumpur ke Temerloh, Anna kurang bercakap dan langsung tidak menceritakan tentang Sudirman. Selepas sampai di sana, baru dia menyebut sama ada saya mengenali Sudirman atau tidak.


Anna ketika menceritakan mimpi dan bagaimana dia boleh sampai ke Malaysia selepas mendapat alamat daripada mimpi itu.



“Saya terus cakap, itu penyanyi terkenal yang dah lama meninggal dunia. Selepas itu, terus kami mencari kubur arwah. Sebelum itu, kami bertanya kepada beberapa orang yang terdapat di sebuah restoran di situ.

“Apabila sampai di kubur itu, Anna berkata arwah memberitahu tempat tinggalnya berwarna putih.

“Selepas itu, Anna pejamkan mata seketika dan kami terus berpecah mencari kubur ‘berwarna putih’. Anna terus mengikut gerak hatinya untuk pergi ke kanan manakala saya dan isteri bergerak ke sebelah kiri.

“Akhirnya, dengan mudah dia menjumpai kubur arwah,” cerita Naib Presiden Kelab P. Ramlee ini yang akhirnya mempercayai cerita Anna apabila melihat kesungguhannya yang sanggup datang dari jauh.

Ujar Anna, dia pada mulanya sukar mengenalpasti tulisan jawi di batu nesan kerana diakui dia merupakan bekas penganut agama Kristian yang kini memeluk agama Islam selepas berkahwin dengan warga Indonesia.

“Selepas sah kubur itu milik arwah, terus saya berdoa untuknya dan mencium kubur itu.

“Saya juga meluah perasaan di kubur itu. Antaranya saya berkata 'kakak hanya orang biasa'.

“Apabila di dalam mimpi dia meminta saya berjumpa dengan kakaknya, saya agak curiga dengan alamat rumah yang diberikan iaitu sama ada nombor rumahnya adalah 61 atau 16.

“Saya juga mengatakan yang saya takut diusir dan dihina kerana saya hanya orang biasa,” ulas ibu tunggal kepada Danny, 25.

Bagi menjawab reaksi anaknya apabila mengetahui hal itu, Anna yang baru tiba dari Amsterdam semalam dan terus bergegas ke majlis tahlil itu berkata Danny tidak marah apabila dia menyayangi penyanyi yang digelar 'the Singing Lawyer' itu.

Tuturnya, apabila mengetahui cerita tentang arwah menerusi kakaknya, dia dapati latar belakang hidup dan nasib mereka hampir sama misalnya dia ditinggalkan oleh bekas suaminya.

“Sebagaimana saya ceritakan tentang keperibadian Sudir yang saya mimpikan adalah seorang yang manja dan murah hati, Ibu Rodziah juga mengiyakan kenyataan itu,” tutur Anna yang pernah dilahirkan dan menetap di Indonesia.

Anna juga meluahkan yang dia langsung tidak menyangka Sudirman yang bercakap dengannya di dalam mimpi itu telah meninggal dunia 17 tahun lalu.

Sembang Anna, jika arwah masih hidup: “Saya nak berkenalan dengannya.”

Tambahnya dalam nada puas hati kerana berjaya melunaskan janjinya dengan arwah: “Sekarang, saya sudah berasa gembira dan tenang.”

Anna juga mengakui selepas mendengar CD lagu arwah yang diberikan oleh Rodziah, terus dia menyukai lagu-lagu tersebut sehingga meminta anaknya memindahkan ke dalam telefon bimbitnya.

“Saya paling menyukai lagu 'Bila Wajahmu Kubayangkan',” kata Anna yang memilih lagu tersebut sebagai nada dering telefon bimbitnya.

Beliau yang dijangka akan menghabiskan masa selama tiga minggu di Malaysia merancang untuk berkunjung ke pusara arwah di Tanah Perkuburan Islam Chengal, Temerloh serta berdoa untuknya pada 22 Februari ini.

“Saya datang ke sini hanya untuk dia,” kata Anna yang akan mengikut keluarga Aziz ke Indonesia beberapa hari dan selepas itu kembali semula ke Malaysia.

Kemudian, Anna akan pulang ke Amsterdam dan belum pasti sama ada akan menetap di Malaysia pada suatu hari nanti atau tidak kerana dia memegang kerakyatan di sana.



Bro Rick Says....
Al-Fatihah buat Arwah Sudirman, semoga rohnya sentiasa dicucuri rahmat....., hari ini genap usia 17 thn, arwah meninggalkan kita semua, segala jasa dan kenangan yg ditinggalkan amat diratapi oleh kita semua, dimanakah akan dicari ganti???

Sunday, February 8, 2009

Gambar Rumah Sudirman terbakar

Rumah Sudirman terbakar pada 17.08.2008.




TEMERLOH - Rumah penghibur nombor satu Asia, Allahyarham Sudirman Haji Arshad di Kampung Bukit Tok Embun, Mentakab dekat sini musnah dalam kebakaran pukul 4 pagi semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Mentakab, Penolong Penguasa Md Yusof Mustafa berkata, kebakaran itu dipercayai berpunca daripada api lilin yang mungkin ditinggalkan oleh penagih dadah yang menjadikan rumah itu sebagai sarang menghisap dadah sejak ditinggalkan kosong beberapa tahun lalu.

Beliau berkata, bomba pada mulanya menerima laporan mengenai kebakaran tiang elektrik pada jarak 15 meter dari rumah tersebut, tetapi setelah tiba di kawasan kejadian, pihaknya mendapati kepulan asap menyelubungi kawasan rumah tersebut.

"Semasa anggota bomba sampai ke rumah itu, kira-kira 90 peratus rumah berkenaan sudah hangus terbakar dan bahagian bumbungnya telah ranap," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Rahsia kematian Sudirman terlerai


Penghibur nombor satu meninggal kerana kegagalan hati bukan Aids. KELUARGA Allahyarham Sudirman membuat keputusan untuk 'menyembunyikan' Penghibur Nombor Satu Negara itu mengenai penyakit dan punca kematiannya kerana tidak mahu peminat sukar menerima hakikat mengenai keadaannya yang sangat menyedihkan. Walaupun ia menyebabkan timbul pelbagai andaian sehingga ada yang mengaitkan Sudirman menghidap penyakit Aids, tetap mereka tegas untuk tidak mendedahkan kepada umum mengenai punca penyakit dan kematian penyanyi itu.

Rakan karib Sudirman yang juga penulis lirik terkenal tanah air, Habsah Hassan berkata, bagaimanapun, sejak kebelakangan ini keluarga penyanyi itu seperti sudah bersedia untuk bercerita dan merungkai rahsia sebenar mengapa mereka bertindak 'menyorokkannya'.

"Selepas bertahun-tahun, barulah rahsia itu terungkai. Keluarganya tidak mahu mendedahkan atau memberi peluang masyarakat Malaysia melihat Sudirman pada waktu itu kerana mereka tidak mahu melihat keadaan sebenar Sudirman yang sangat menyedihkan. Mereka sudah biasa tengok Sudirman dalam sentiasa ceria dan 'cute'.

"Secara perubatan, Sudirman disahkan mati kerana kegagalan hatinya berfungsi dengan sempurna. Tapi sebenarnya, ada punca kematian yang tidak boleh dijelaskan secara perubatan kerana pada waktu itu, Sudirman sedang menghadapi pelbagai perkara aneh. Saya akui, ia juga disebabkan ajalnya memang sudah sampai. Tetapi Sudirman melalui banyak perkara misteri dan mistik yang sukar untuk dipercayai pada zaman moden ini. Tetapi hakikatnya itulah yang dihadapi oleh Sudirman sehingga membawa kepada kematian," katanya.