Saturday, June 27, 2009

Akhirnya Sudirman dihargai


Sudirman yang diwakili kakaknya, Datin Rodziah Arshad menerima pengurniaan itu sempena ulang tahun Hari Keputeraan ke-78 baginda di Balairung Seri, Istana Abu Bakar, Pekan, kelmarin.

Apapun, Sudirman memang layak menerima anugerah berkenaan.

Sebagai penyanyi nombor satu Asia, siapa yang tidak kenal dan menyukai lagu Sudirman.

Karya yang boleh dikatakan penuh dengan mesej dan pengalaman menjadikan Sudirman segar di ingatan peminat walaupun kini dia hanya dalam kenangan.

Bagi penulis lirik dan penerbit filem terkenal, Habsah Hassan, Sudirman memang wajar menerima gelaran berkenaan.

Namun, ia agak terlewat untuknya kerana dia lebih dulu menyahut panggilan Ilahi pada 22 Februari 1992.

Bagaimanapun, itu satu penghargaan besar terhadap jasanya.

"Sebagai sahabatnya, saya tumpang gembira atas penganugerahan itu.

"Secara tidak langsung, pembabitan Allahyarham dalam industri seni tanah air suatu ketika dulu masih diingati dan dihargai. Sayangnya, Allahyarham sudah pergi terlalu lama.

"Saya benar-benar rasa terharu. Tidak sangka, penat-lelah Sudirman selama ini yang pernah menghiburkan orang ramai tidak sesekali dilupakan. Bagi saya, anugerah itu bukan saja lebih bermakna untuk peminat Sudirman, tetapi buat keluarganya.

"Sejak kembalinya Sudirman ke hadrat Ilahi, pastinya ia satu memori besar yang tidak dapat dilupakan keluarga serta peminat setianya. Jadi, dengan adanya anugerah diterima itu boleh dikatakan satu 'bonus' untuk diwarisi keluarga Allahyarham," katanya.

Bagaimanapun, Habsah, yang cukup mengenali Sudirman, menegaskan selagi orang ramai mengingati Sudirman dan jasanya, maka itu juga penghargaan sangat besar buat Allahyarham.

Menurutnya, kenangan yang ditinggalkan Sudirman takkan pernah hilang.

Seorang lagi sahabat baik Allahyarham, Noorkumalasari ketika dihubungi semalam, enggan memberi komen mengenai penghargaan itu.

Katanya, tiada apa lagi yang hendak dikatakan. Jika ia sudah diberi, apa salahnya menerima.

"Memandangkan Allahyarham Sudirman sudah tiada, saya tidak mahu komen apa-apa. Lagipun, kata orang tidak baik mereka yang sudah meninggal dunia disebut-sebut selalu. "Arwah akan sedih dan lebih baik hulurkan doa buatnya," katanya.

Penyanyi yang popular dengan lagu Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu, Ramlah Ram berkata, selayaknya Sudirman menerima gelaran berkenaan.

Menurut Ramlah, sebagai penghibur serba boleh dia sangat mengingati Allahyarham yang baik hati.

"Sekalipun saya tidak dapat mengenalinya dengan lebih lama, Sudirman ialah artis yang suka memberikan semangat kepada rakan lain.

"Macam saya dulu, tidak yakin untuk membuat persembahan, tetapi Allahyarham sedia membantu.

"Disebabkan saya masih baru, apa yang dilakukannya sangat membantu. Allahyarham juga tidak pernah berasakan dirinya hebat.

"Sikap merendah dirinya dan tidak sombong membuatkan saya begitu menghormati Allahyarham hingga kini. Dia (Allahyarham) istimewa," katanya.

Menurut Ramlah, jasa Sudirman pada industri seni memang tidak boleh dipersoalkan sesiapa.

Bayangkan, lagu-lagunya sampai sekarang masih diingati generasi muda.

Hakikatnya, mereka tidak pernah kenal atau bersua dengan Sudirman.

Penyanyi dan ahli perniagaan e-dagang, ND Lala atau Amir Hamzah Salleh berkata, sebagai anak seni sememangnya tiada apa diinginkan ketika berkarya.

Paling penting ketika itu adalah dapat menghiburkan peminat dan karya dihasilkan diterima.

"Justeru, sama ada dapat anugerah atau tidak, itu bukan persoalannya. Jadi, dalam soal ini istilah dapat anugerah awal atau tidak, usah diperkata. Apa yang utama, impak kepada pendengar yang membuatkan lagu dinyanyikan artis itu kekal diingati dan disukai.

"Begitulah yang berlaku kepada Allahyarham Sudirman. "Secara peribadi, pada saya Sudirman bukan hanya penghibur, tetapi individu yang memberi inspirasi. Lihat saja pada lagu-lagunya yang penuh dengan mesej seperti patriotik, cinta dan komedi," katanya.

Kata ND Lala lagi, personaliti Sudirman yang hebat itu memang wajar bagi Allahyarham dianugerahkan Datuk walaupun sudah meninggal dunia.

Dalam soal ini, kita sendiri boleh lihat betapa lagu-lagu Sudirman diminati pelbagai lapisan usia daripada kanak-kanak hingga dewasa.


Profil

NAMA: Sudirman Haji Arshad
TARIKH LAHIR: 25 Mei 1954
ASAL: Temerloh, Pahang
KARIER: Penyanyi, pelakon, penulis dan peguam
KELUARGA: Anak bongsu daripada enam beradik
PENDIDIKAN: Ijazah Undang-Undang Universiti Malaya
BAPA: Arshad Hassan
IBU: Ramlah Dahlan
MENINGGAL DUNIA: 22 Februari 1992

PENCAPAIAN: Antaranya, Penghibur TV Terbaik, Anugerah Seri Angkasa, RTM 1978, Persembahan Terbaik Anugerah Juara Lagu TV3 1987, Penyanyi Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 1989 dan Penghibur Nombor Satu Asia 1989

ANUGERAH: Ahli Mangku Negara daripada Yang di-Pertuan Agong 1988, Ahli Mahkota Pahang daripada Sultan Pahang 1990, Johan Mangku Negara daripada Yang di-Pertuan Agong 1992 dan Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang daripada Sultan Pahang (2009)





Friday, June 19, 2009

Sudirman terima gelaran 'Datuk'



Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah menyampaikan Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang membawa gelaran 'Datuk' kepada Sudirman Arshad yang diwakili kakaknya Datin Rodziah Arshad (dua, kiri) pada Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Pahang sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda ke-78 pada 24 Oktober lepas di Istana Abu hari ini. Anugerah itu merupakan perhargaan tertinggi bagi penyanyi kelahiran Temerloh, Pahang yang meninggal dunia pada 22 Februari 1992 ketika berusia 37 tahun. Pada Istiadat itu seramai 184 individu menerima darjah kebesaran dan pingat. --fotoBERNAMA



PEKAN: Penyanyi Allahyarham Sudirman Arshad hari ini dianugerahkan Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang membawa gelaran "Datuk" sempena ulang tahun Hari Keputeraan ke-78 Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah pada 24 Okt tahun lepas.

Anugerah yang disampaikan oleh Sultan Ahmad Shah dalam satu istiadat di Balairong Seri Istana Abu Bakar di sini diterima oleh kakak sulung penyanyi itu, Datin Rodziah Arshad.

Sudirman, anak kelahiran Temerloh, meninggal dunia pada 22 Februari 1992 pada usia 37 tahun.

Rodziah ketika ditemui pemberita melahirkan rasa terharu di atas penghargaan itu.

"Walaupun Allahyarham telah lama tiada, namun anugerah ini melambangkan beliau masih diingati dan dihargai sehingga kini," katanya.

Katanya beliau bercadang untuk menyerahkan anugerah darjah berkenaan ke Muzium Tokoh di Kuantan dan akan membincangkannya dengan ahli keluarga.

Sudirman (1984-1992), mula muncul dalam dunia hiburan tempatan apabila memenangi pertandingan bakat muda Bintang RTM pada tahun 1967 sebelum memulakan kerjayanya.

Beliau lebih dikenali sebagai "Singing Lawyer" dan "Elvis Malaysia,".

Lagu-lagu hits rakamannya bukan sahaja terkenal di Malaysia tetapi juga di negara lain di seluruh dunia.

Persembahan beliau seringkali mendapat tepukan gemuruh di Australia, Jepun, Kuwait dan Amerika Syarikat.

Beliau diberi gelaran "Singing Ambassador" daripada Lembaga Pembangunan Pelancongan Malaysia dan lagu nyanian beliau "To know Malaysia is to love Malaysia" masih lagi diperdengarkan sehingga kini.

Salah satu daripada persembahan terbaik dalam kareernya ialah pada April 15, 1986, apabila beliau mengadakan konsert di ruangan yang terbuka di Jalan Chow Kit di Kuala Lumpur, dan dipercayai merupakan "konsert jalanan" yang pertama sekali pernah dibuat.

Peminatnya ketika itu seramai kira-kira 100,000 membanjiri jalanraya, dan ketika itu The Star melaporkan "keadaan di KL lenggang dan ia bukan disebabkan masalah ekonomi tetapi oleh seorang lelaki, Penghibur No.1 Malaysia," tambahan lagi "ia merupakan persembahan yang mengejutkan dan tidak dapat dilupakan."

Beliau memenangi gelaran "Penghibur terbaik di Anugerah Muzik Asia 1989 di Royal Albert Hall, London.

Rakan Sudirman yang juga selebriti terkenal, Yasmin Yusuff, turut melahirkan rasa terharu serta menganggap anugerah berkenaan wajar diberikan terhadap bakat dan sumbangan Allahyarham.

Yasmin yang merupakan rakan sekolah Sudirman di Sekolah Sultan Abu Bakar, Kuantan, pula dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk.

Wednesday, June 3, 2009

Sudirman tiada dua


KAZAR menjanjikan persembahan luar biasa pada Konsert Untuk Mu Sudirman yang mula dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur 4 Jun ini.




Sudirman tiada duaTARIKH 22 Februari 1992 merupakan tarikh yang cukup signifikan dalam direktori hiburan tempatan. Pada tarikh itulah penghibur masyarakat, Sudirman Haji Arshad meninggal dunia.

Ini bermakna sudah 17 tahun dia pergi dan kita yang masih hidup terus melihatnya sebagai seniman berjiwa besar.

Kehebatannya sebagai seorang penghibur yang tidak pernah ketandusan idea kreatif untuk mencantikkan lagi persembahannya menjadikannya anak seni satu dalam sejuta.

Begitu juga dengan lagu-lagu nyanyiannya yang terus menjadi siulan dan diminati sehingga kini.

Bukan itu sahaja, Sudirman juga akan terus diingati sebagai seorang anak seni yang begitu memahami jiwa masyarakat.

Kerana itu juga, lahirlah lagu-lagu yang menceritakan permasalahan yang berlaku di dalam kehidupan seharian kita.

Menyingkap sejarah, Sudirman mula meniti populariti dan menjadi sebutan tatkala namanya dijulang sebagai juara Bintang RTM 1976 dan seterusnya menjadi artis rakaman EMI.

Bersama syarikat rakaman terunggul itu, anak kelahiran Temerloh, Pahang itu menghasilkan 20 buah album termasuk dua buah album Inggeris.

Lagu-lagu dendangan Sudirman meliputi skop muzik yang cukup luas baik dari genre pop, pop rock, Melayu Deli mahupun tradisional.

Malah, Sudirman juga berjaya membawa nama Malaysia di mata dunia apabila dia dinobatkan sebagai Penghibur Nombor Satu Asia di pentas penuh prestij, Royal Albert Hall, London pada tahun 1989.

Bukan setakat memegang portfolio sebagai seorang penghibur, beliau juga dikenali sebagai ahli perniagaan yang berjaya meskipun mempunyai latar pendidikan dalam bidang undang-undang.

Semua itu hanya tinggal kenangan. Sebagai peminat yang terus mengagumi bakat serta iltizam dan semangatnya, sudah pasti kita mahu melihat nama Sudirman di angkat ke peringkat yang lebih tinggi.

Saban tahun, pasti akan ada pihak yang tidak pernah lelah untuk menghasilkan program sebagai tribute bagi mengenang pembabitan Sudirman di pentas seni.

Sebagai contoh, penyanyi nombor satu negara Datuk Siti Nurhaliza pernah membuat persembahan mengenang Sudirman pada tahun 2002 menerusi Konsert Siti Nurhaliza Untukmu Sudir.

Malah, RTM sendiri pernah menghimpunkan nama-nama popular tanah air dan disatukan dalam sebuah persembahan istimewa sekitar dua tahun lalu.

Justeru, dalam usaha untuk terus mengangkat karya dan bakat besar Sudirman agar terus dikenang dan tidak dilupakan, Bintang Emas Pictures Sdn. Bhd. (BEPSB) mengambil inisiatif menganjurkan sebuah persembahan yang cukup berbeza daripada lazimnya.

Mengangkat 'cerita dalam lagu' itu, konsert yang diberi judul Konsert Untuk Mu Sudirman bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) bermula 4 Jun ini. Persembahan eksklusif itu akan mengimbau nostalgia yang bukan sedikit terhadap Sudirman.

Ini jelaskan sendiri oleh penerbit eksekutif dan pengarah konsert berkenaan, Siti Khadijah Ibrahim atau Eja yang memberitahu, projek berkenaan cukup istimewa serta menjadi impiannya.

Akan menampilkan lapan set yang melatari setiap jalan cerita serta lagu yang ditampilkan, Eja memberi jaminan persembahan itu kelak mampu melahirkan rasa puas kepada peminat Sudirman khususnya.

"Projek ini mula diusulkan sejak setahun yang lalu dan pihak IB hanya memberi lampu hijau dan tarikh pada bulan Disember lalu untuk menganjurkan konsert ini pada bulan ini.

"Disebabkan itu juga, konsert ini tidak dapat diadakan pada bulan Februari sebagai mengenang tarikh ulang tahun pemergian beliau. Tetapi pada saya, untuk mengingati Sudirman, ia boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja.

"Apa yang penting adalah untuk terus menghidupkan karya dan lagunya kerana Sudirman merupakan legenda yang akan terus diingati sampai bila-bila," katanya kepada Hits.

Antara artis yang terlibat dalam persembahan selama tiga malam berturut-turut itu ialah juara Akademi Fantasia (AF) musim kelima, Mila selain daripada Iqwal, Kazaruddin Saisi dan Adibah Noor.

Selain itu, bekas bintang AF musim keempat, Haziq juga akan mengalunkan vokalnya menerusi lagu-lagu Melayu Deli dan tradisional selain daripada Andy Flop Poppy, Atilia, Rahim Maarof serta MK dan Kelvin Lau.

Pada perbualan itu, Eja turut ditanya mengenai kriteria pemilihan artis-artis untuk persembahan tersebut.

Sebagai orang lama dalam industri hiburan, Eja sudah menjangkakan perkara itu akan dibangkitkan.

Bagaimanapun, beliau yang pernah menjadi 'orang kuat' di sebalik agenda pemasaran dan publisiti bagi projek Puteri Gunung Ledang the Musical dan P. Ramlee the Musical itu optimis kerana apa yang penting adalah bakat artis-artis ini yang mempunyai keistimewaan serta mampu menarik kelompok peminat mereka.

Apatah lagi konsert ini juga memberi satu kelainan dari segi muziknya apabila hanya menampilkan 11 orang pemuzik profesional di bawah pimpinan Zee Wan.

Jelas Eja lagi, beliau sengaja tidak mahu memilih muzik orkestra kerana mahu mereka yang hadir mampu menangkap lagu yang didendangkan serta menyanyi bersama mengikut alunan lagu.

"Saya juga mahu mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan negeri Pahang kerana sudi membeli tiket secara pukal serta Muzium Tokoh Negeri Pahang yang membenarkan kami meminjam beberapa memorabilia milik Sudirman untuk kami jadikan sebagai bahan pameran," jelasnya yang menanti penuh debar akan sambutan peminat terhadap konsert itu.

Untuk melengkapkan lagi perjalanan Konsert Untuk Mu Sudirman itu, pelakon berbakat besar, Que Haidar telah dipilih sebagai pencerita.

Dengan berbekalkan wajah mirip Sudirman, sememangnya anak kelahiran Felda Taib Andak, Kulai, Johor itu layak melibatkan diri dalam persembahan seumpama ini.

"Sewaktu mereka mengumumkan tentang persembahan ini, hati saya bertanya juga mengapa saya tidak terpilih sama.

"Bukan mahu meletakkan diri saya seperti Sudirman hanya kerana wajah saya dikatakan seiras dengan legenda itu tetapi ia lebih kepada aspirasi dan semangat Sudirman itu.

"Sudah pasti saya akan memberikan yang terbaik dan akan melakukannya dengan cara saya sendiri," katanya yang baru sahaja pulang dari Langkawi untuk penggambaran filem Legenda Budak Setan.

Labels: